HSR KL-Singapura batal, Malaysia perlu bayar pampasan ratusan juta kepada Singapura.

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kementerian Pengangkutan Singapura hari ini mengesahkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR) dibatalkan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan kementerian terbabit, Malaysia dimaklumkan perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.

Walau bagaimanapun, jumlah pampasan yang perlu dibayar Malaysia kepada Singapura tidak dinyatakan dalam kenyataan tersebut. Sementara itu, FMT memetik sumber yang rapat mendakwa jumlah itu adalah sebanyak RM320 juta.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Malaysia, Muhyiddin Yassin membincangkan status projek berkenaan pada 2 Dis lepas.


“Perjanjian HSR luput pada 31 Dis 2020. Kedua-dua negara akan mematuhi tanggungjawab masing-masing dan kini akan meneruskannya dengan tindakan yang perlu dilakukan susulan penamatan perjanjian ini.

“Kedua-dua negara terus komited untuk mengekalkan hubungan dua hala yang baik,”

Dalam kenyataan bersama yang berasingan pejabat Lee dan Muhyiddin berkata, perjanjian dua hala itu luput selepas Malaysia dan Singapura tidak bersetuju dengan perubahan yang dicadangkan oleh Putrajaya.

Cadangan itu dibuat berikutan kesan wabak COVID-19 ke atas ekonomi Malaysia.


Perjanjian dua hala itu yang ditandatangani pada 2016 ditangguhkan atas permintaan Malaysia sejak Sept 2018 dengan tarikh akhir bagi lanjutan penangguhan tersebut tamat semalam.

HSR yang baharu dilaporkan hanya melibatkan laluan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu manakala kelajuannya turut dikatakan akan dikurangkan.

Projek tersebut pada mulanya diilhamkan oleh kerajaan BN pimpinan Dato Seri Najib Razak terdahulu sebelum ditangguhkan apabila kerajaan bertukar tangan pada 2018 di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir. – Buletin TTKM –

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.