Basikal tiada loceng, lampu dan brek: Denda maksimum RM2k

PUTRAJAYA 2 JAN: Bermula 9 Januari 2021, polis Putrajaya akan mula mengambil tindakan terhadap penunggang basikal yang gagal mematuhi ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek. Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata individu yang didapati bersalah tidak akan dikompaun sebaliknya akan dirujuk ke mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000. Beliau berkata penguatkuasaan dibuat untuk memastikan keselamatan penunggang basikal di Putrajaya yang semakin menjadi tumpuan dengan anggaran 1,000 orang berbasikal pada hari minggu. “Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” Beliau berkata demikian ketika mengadakan Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya, di sini hari ini. Operasi Khas Basikal yang dilaksanakan bermula 1 hingga 3 Januari bertujuan menasihati dan mengingatkan penunggang basikal tentang penguatkuasaan yang akan bermula pada 9 Januari. Tambah Mohd Fadzil, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal. “Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng iaitu hukuman tersebut tidak boleh dikompaun,” Mohd Fadzil berkata statistik kemalangan jalan raya melibatkan basikal di Putrajaya merekodkan enam kes pada 2019 dan kesemua mereka mengalami cedera ringan, manakala 11 kes direkodkan tahun lepas dengan satu kes yang melibatkan kematian. Tambahnya lagi, penunggang basikal harus mengambil serius terhadap ciri-ciri keselamatan bagi membolehkan pengguna jalan raya yang lain peka dengan kehadiran mereka. “Pihak polis ingin menegaskan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya. Sejak kebelakangan ini, beberapa penunggang basikal yang menunggang secara berbahaya di jalanraya menjadi tular di media sosial dan mendapat kecaman hebat warganet. Antara gambar dan video yang tular itu adalah menunggang di sebelah kanan jalanraya, berkonvoi tanpa mengikut satu garisan dan juga berhenti beramai-ramai di bahu jalan untuk berswafoto – Buletin TTKM –

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.