July 30, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Menteri pulang dari luar negara kuarantin tiga hari sahaja.

Kuala Lumpur, 9 Feb – Menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara diberi pengecualian bagi menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan “tanpa membahayakan orang ramai.”

Pengecualian itu berkuatkuasa mulai 9 Februari hingga 1 Ogos depan seperti mana dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan semalam.

Dokumen perintah berjudul “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba mengikut kuasa (Akta 342) seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Seksyen 15 akta ini memperuntukkan: “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”

Dengan perintah yang dikeluarkan Dr Adham itu, anggota kabinet tidak perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara.

“Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” kata syarat pengecualian akta 342 dalam perintah menteri kesihatan itu.

Walaubagaimanapun, pemerhatian Buletin TTKM di laman portal rasmi e-warta Persekutuan pagi tadi mendapati pautan kepada dokumen PDF tersebut tidak dapat dimuat turun. Tidak dapat dipastikan sama ada pautan tersebut dipadamkan atau terdapat kesilapan teknikal. ( Kemaskini 3:44 pm: dokumen tersebut kini boleh diakses)

Pautan tersebut : http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_20210208_PUA%2046.pdf

Sementara itu, Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan terbaru kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu boleh mengundang negara kepada keadaan lebih buruk seperti apa yang berlaku selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu,

“Kuarantin selama 3 hari sahaja lagi bahaya sebab purata tempoh inkubasi Covid ialah 5 hingga 6 hari.Ada bahayanya jika mereka yang telah dijangkit akan salah dilepaskan terlalu awal lalu menjangkiti ramai lagi orang setelah tersalah sangka mereka bebas Covid.Ini terbukti semasa kuarantin kendiri 3 hari pada mulanya dikenakan KKM bagi mereka yang pulang dari PRN Sabah.”

Tambahnya lagi, perkara itu lebih membahayakan sekiranya jangkitan yang tersalah lepas ialah dari luar negara sebab ada kebarangkalian ianya mutasi Covid baru yang lebih ganas seperti mutasi UK dan mutasi Afrika Selatan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia manakala Datuk Seri Hishamuddin pula ke Emiriyah Arab Bersatu, UAE. – Buletin TTKM-


RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: