Istana Negara, 24 Feb: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa dan ia boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara tersebut pada satu kenyataan hari ini.
“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.
“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat perdana menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,”


Terdahulu, Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

“Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut,”
“Dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi,”

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 selepas menerima mengadap perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. yang menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

Susulan itu, sesi dewan rakyat dan dewan undangan negeri ditangguhkan sehingga ke hari ini.
Perdana menteri berjanji akan membubarkan parlimen sebaik sahaja pandemik covid-19 terkawal kerana didakwa telah kehilangan majoriti susulan beberapa ahli parlimen kerajaan dari blok UMNO menarik kembali sokongan kepada beliau – Buletin TTKM-