Tangguh Undi18: “Pas sokong tangguh, undi perlu kematangan” – Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyokong langkah Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia yang menangguhkan pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran mengundi secara automatik.

Menurut Abdul Hadi, umur pengundian seharusnya bergantung kepada kematangan dan bukan setakat undi pada umur 18 tahun sahaja yang berpandukan kepada konsep demokasi barat.

“Undi bergantung kepada kematangan. Jangan undi 18 tahun sahaja. Mestilah ada kematangan. Kita tak boleh terpengaruh dengna barat. Dalam Islam kita disebut ‘sinnu rusydi- tahun kematangan. Kematangan boleh berlaku 16 tahun, 18 tahun, boleh berlaku 25 tahun pun ada, orang 40 tahun tak matang lagi pun ada. Tetapi malangnya kita berpandukan kepada konsep demokrasi barat pada umur, bukan kematangan. Dengan sebab itu perlu dibuat pertimbangan pada kematangan bukan kepada umur sahaja.”

– Hadi Awang.

Apabila ditanya sama ada PAS bersetuju dengan penangguhan pelaksanaan undi18 tersebut, beliau berkata PAS bersetuju dan ia tidak akan memberi kesan apa-apa kepada PAS.

“Kita setuju ( dengan penangguhan). Tak ada kesan apa. Yang penting kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang. Kalau rakyat itu mentah, pilih kerajaan mentah juga. Kematangan itu penting.”

– Hadi Awang.

Semalam SPR dalam satu kenyataan berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Situasi sedemikian menurutnya menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

“Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR. SPR komited dengan pelaksanaan kedua-dua perkara itu seperti diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjelang 2023 berpandukan Perkara 55(3) Perlembagaan.Persiapan ke arah pelaksanaan itu masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya, termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain yang berkaitan dengannya,”  –  Datuk Abdul Ghani Salleh

Pelbagai pihak mengkritik kenyataan SPR tersebut kerana usul Undi18 tahun itu diluluskan di parlimen pada tahun 2019 dengan undian 211, melebihi jumlah 2/3 yang diperlukan, yang turut disokong oleh ahli parlimen PAS – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.