April 21, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

ISU UNDI18: PH UMPAMA “KOKOK BERDERAI-DERAI, EKOR BERGELUMANG TAHI”

Oleh : Dr Kamarul Yusoff

Kencang sungguh sembang para pemimpin Pakatan Harapan mengecam pengumuman Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, semalam bahawa “Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangkakan boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR”.

Majlis Presiden Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang ditandatangani oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, “mengecam keras” pengumuman ini dengan menyebut “ini jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara” dan “ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka”.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin, mengeluarkan kenyataan menyeru demo digerakkan di depan Parlimen esok untuk “berjuang menuntut hak yang cuba digagalkan petualang dan #PNipu” selain sebelumnya mengecam SPR dengan menyebut “SPR jangan sebut soal realistik, kerana setahun lebih yang berlalu adalah tempoh yang amat realistik untuk melaksanakan undi 18 secara automatik” dan “kami nak tahu secara terperinci, halangannya apa dan di mana?”

Sepatutnya, sebelum mengecam, mereka semaklah dulu kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 3 September 2019, bahawa Pelaksanaan Undi18 berkait dengan banyak isu teknikal, antara lainnya ialah:

i) Menaik taraf sistem ICT SPR;

ii) Keperluan data-data dari jabatan/agensi kerajaan yang lain, antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara dan/atau Mahkamah serta Kementerian Kesihatan Malaysia;

iii) Pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan pilihan raya yang perlu untuk melaksanakan Undi18;

iv) Pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun menjadi calon Dewan Undangan Negeri.

Merujuk kepada Perkara iv), semakan kepada data rasmi menunjukkan bahawa sehingga hari ini:

i) Hanya Negeri-Negeri Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak sahaja yang bersetuju menerima Undi18;

ii) Negeri-Negeri Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menolak Undi18;

iii) Negeri-Negeri Kedah dan Pulau Pinang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18.

Bukankah Negeri-Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang menolak Undi18 adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?

Dan bukankah Negeri Pulau Pinang yang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18 juga adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?

Grafik oleh Dr Kamarul

Dari mengecam keras SPR dan Kerajaan Perikatan Nasional, eloklah Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu mengecam keras Kerajaan-Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Dan dari berdemo di depan Parlimen, eloklah Pemuda Pakatan Harapan terlebih dahulu berdemo di depan Dewan-Dewan Undangan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Inilah agaknya yang disebut oleh peribahasa Melayu: “Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”. – Buletin TTKM –

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: