Kuala Lumpur, 28 Mac : Bekas perdana menteri, Dato Seri Najib Razak menyanggah info yang tular di media sosial yang mendakwa perlembagaan negeri perlu dipinda untuk menurunkan umur pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.
“Adalah tidak benar bahawa perlembagaan negeri perlu dipinda untuk turunkan umur PENGUNDI dari 21 tahun ke 18 tahun.Apa yang dipindakan di peringkat negeri adalah umur minima KEAHLIAN Dewan Undangan negeri supaya umur minima CALON boleh diturunkan ke 18 tahun.Had umur pengundi sama ada untuk Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri adalah bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 119 “Kelayakan pemilih” Perlembagaan Persekutuan. DUN tiada kuasa sama sekali.” – Najib Razak.
Tambah beliau lagi, kenyataan menteri kanan, Azmin Ali semalam turut tidak menyatakan perlunya pindaan peringkat negeri melibatkan pengundi, sebaliknya ia adalah pindaan mengenai calon.
“Kalau kita baca statement belit-belit menteri kanan semalam, dia pun tak berani kata pindaan peringkat negeri melibatkan pengundi. Dia kata ‘calon’ ” – Najib Razak.
Pendapat itu turut disokong oleh Syed Saddiq yang menyifatkan info itu sebagai propaganda yang tidak betul dan menimbulkan salah faham orang ramai.
“Usahlah menyebarkan propaganda yang tidak betul dan menimbulkan salah faham orang ramai. Penurunan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun TIDAK PERLUKAN kelulusan DUN Negeri.” – Syed Saddiq
Tambah Syed Saddiq lagi, pendaftaran undi automatik tidak memerlukan kelulusan DUN Negeri, malah penurunan umur calon Parlimen sudah pun dilaksanakan
“Di peringkat Negeri, negeri hanya ada kuasa perihal umur minimum calon Dewan Undangan Negeri. Di peringkat Parlimen, umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun, pendaftaran undi automatik dan umur minimum calon Parlimen sudah LULUS. Hanya tunggu SPR & Kerajaan PN laksanakan sahaja pada Julai 2021 seperti yang dijanjikan.” – Syed Saddiq
Beliau turut mencadangkan supaya pihak yang menyebarkan propaganda salah itu supaya membuat semakan dan menyenaraikan semua nama Ahli Parlimen yang menyokong dengan usul UNDI 18.
Semalam, Dr Kamarul dalam satu hantaran di facebooknya berkata pelaksanaan Undi18 berkait dengan banyak isu teknikal. Tambahnya lagi hanya Negeri-Negeri Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak sahaja yang bersetuju menerima Undi18;
“Negeri-Negeri Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menolak Undi18; Negeri-Negeri Kedah dan Pulau Pinang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18. Bukankah Negeri-Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang menolak Undi18 adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan. Dan bukankah Negeri Pulau Pinang yang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18 juga adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan? Dari mengecam keras SPR dan Kerajaan Perikatan Nasional, eloklah Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu mengecam keras Kerajaan-Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.Dan dari berdemo di depan Parlimen, eloklah Pemuda Pakatan Harapan terlebih dahulu berdemo di depan Dewan-Dewan Undangan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Inilah agaknya yang disebut oleh peribahasa Melayu: “Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi” – Dr Kamarul Yusoff
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia kelmarin menyatakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun secara automatik dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Kenyataan tersebut dikritik pelbagai pihak kerana menjangkakan undi18 tersebut dapat dilaksanakan sebelum PRU15 diadakan. -Buletin TTKM-
1 Comment