Batal HSR: Malaysia bayar pampasan RM320 juta pada Singapura

Kuala Lumpur, 29 Mac: Malaysia telah membayar sebanyak SG$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung membabitkan pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya, lapor Bernama.

Kedua-dua negara terbabit telah mencapai persetujuan berhubung jumlah tersebut susulan proses verifikasi yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia.

Jumlah tersebut juga mewakili penyelesaian penuh serta akhir berkaitan pembatalan Perjanjian Dua Hala bagi projek HSR pada 31 Dis, 2020, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Pengangkutan Singapura dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Singapura turut menegaskan untuk kekal komited terhadap usaha memelihara hubungan baik serta menjalin kerjasama erat bagi kepentingan bersama rakyat masing-masing.

Projek HSR diilhamkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan MOU mengenainya ditandatangani dengan perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 2016.

Projek tersebut ditangguhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan terdahulu setelah kerajaan Barisan Nasional tumbang pada PRU14 yang lalu.

Pada 1 Januari 2021, projek tersebut terbatal secara rasmi apabila tempoh masa untuk kedua-dua negera mencapai persetujuan telah luput.

Ini berikutan pihak Malaysia meminta beberapa butiran mengenai projek tersebut diubah, antaranya mengenai pindaan jajaran dan penghapusan AsetCo, syarikat milik bersama kedua-dua negara yang menguruskan projek tersebut, tidak disetujui oleh pihak Singapura.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, yang bertugas di Unit Perancang Ekonomi, berkata perubahan yang dicadangkan itu perlu kerana projek itu tidak lagi berdaya maju untuk dilaksanakan kerana kekangan ekonomi Malaysia akibat wabak Covid-19. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.