Ke mana hala tuju orang Melayu selepas ini?

Oleh: Nami

Malam ni, lepas makan masakan mak aku, aku baring menyandar kaki terlunjur kekenyangan, sambil baca cerita tentang Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Bukan apa, ada banyak bahan untuk Novel Bersiri Sidang Dewan yang aku sedang tulis ni.

Dari kecil lagi, aku minat politik. PRU 1990 adalah pilihan raya pertama yang aku tahu kewujudan sistem demokrasi ni. Aku tertarik masa tu, ayah aku dan kami satu keluarga, balik kampung ikut jalan lama.

Masa tu lebuhraya PLUS cuma sampai Ayer Keroh, selebihnya nak ke Johor tu kena pakai jalan lama.Aku suka tengok poster, bendera dan macam-macam bentuk lagi. Kalau lalu kubu PAS, ada bentuk meriam la, bentuk kapal terbang lah.

Apapun, pilihanraya pertama aku yang benar-benar aku faham dan sertai ialah pilihanraya 2004. Masa tu aku mencari duit lebih untuk pergi konsert Incubus Live In Malaysia yang berharga RM200 paling murah kalau tak silap, dan dengan tu, aku cari kerja yang dapat duit cepat – tampal poster.

Kalau hakimi diri aku sekarang, memang la kau takkan yakin aku mampu panjat tangga kat tiang eletrik tu semua, tapi aku dah tunjuk gambar muda aku dulu kan? Apapun, disebabkan UMNO ni kerajaan masa tu, jadi UMNO la banyak duit. Aku menepek muka Pak Lah di merata kawasan Parlimen Serdang dan Parlimen Ampang.

Hulu Langat ada budak dia sendiri.Jadi, untuk nak cakap yang aku ni ada pengalaman luas dalam hal pilihanraya ni, bolehlah, takat dalam 17 tahun yang lepas.Tahun 2008, aku bersama budak PAS tampal bendera di DUN Sijangkang, sebab rakan aku ni orang PAS sana.

Dari situ aku kenal orang PKR. Aku pernah lepak dengan Hilman masa dia bayar teh ais susun duit syilling kat Bangi tu.Pada masa tu, aku anak muda yang mahu perubahan. Aku percaya, politik Malaysia boleh berubah menjadi politik berlandaskan idea, berlandaskan hujah dan debat, bukannya cerita pasal lubang b*nt*t, atau cerita pasal politikus ada skandal dengan artis.

Tapi pilihanraya 2013 yang paling aku keletihan yang amat sekali. Masa tu, aku jadi wartawan The Malaysian Insider. Bermacam-macam ahli politik aku jumpa, bermacam-macam perangai. Rakan sekerja aku pernah cakap, tugas kau temuramah sahaja, percaya jangan dengan politikus ni.

Dan pada pilihanraya 2018, aku telah buat ramalan yang tepat tentang apa yang bakal berlaku bila Pakatan Harapan menang, dan sampai sekarang bila tulisan tu naik balik je, aku tersenyum bila baca tulisan tu.Masa aku kat USM, aku ambil kertas minor Sains Politik dan aku kena belajar pasal anthropology, sociology, segala-gala ism yang kau tengok budak FB dan Twitter cakap tu, tahun 2006 aku dah baca semua tu.Tapi segala-gala ism yang aku belajar tu semua tak boleh pakai di Malaysia, sebab ism-ism tu semua berakar umbi dari fahaman Westphalian democracy yang kemudiannya bertukar jadi Westminister, French, American, Swiss, German, dan segala style of demokrasi.

Akar umbi Westphalian ni ialah berdiri dengan idea sebuah negara bangsa yang mempunyai pelbagai jenis pemikiran. Ia berakar umbi daripada perang beratus tahun antara Pope dan Protestan yang diasas oleh Martin Luther.Jadi perkara ni, langsung tiada kaitan dengan politik Malaysia, sebab di tanah hujung ni, politiknya macam negara Asia yang lain, iaitu sistem kabilah/hulubalang/clan based politics. Jadi, nak tak nak, kalau nak bercakap pasal politik Malaysia, kena cakap tentang politik orang Melayu.Politik kita ni adalah berdasarkan puak hulubalang mana yang akan pegang kawasan Sultan. Susun atur politik kita adalah lebih licik daripada New Zealand, Kanada atau negara skema yang lain. Hanya yang layak akan menjadi penasihat Raja, sekaligus menjadi penentu negara.

Maka kau akan terkejutlah kenapa Azmin bermusuh dengan Anwar, sebelum tu baik gila, kenapa Najib dengan Mahathir gaduh, kenapa Muhyiddin berjaya menyelit, kenapa Hadi Awang ni dulu okay dengan Anwar sekarang tak.

Tiada kawan yang kekal, hanya kepentingan yang kekal. Masa aku tonton video-video PAU, aku berfikir panjang tentang parti kegemaran aku masa tahun 1990 dulu, Parti Semangat 46.Kebetulan, kawan satu universiti aku, Haizal Yatiran interview bekas presiden dia, Tengku Razaleigh Hamzah.Yang aku faham, TRH mewakili raja-raja Melayu dalam kerusi Parlimen. Kalau raja Melayu bersuara tu, TRH akan bersuara di Parlimen. Kira Gua Musang tu kerusi tetap untuk raja lah.Masa tahun 1990 dulu, TRH lawan Mahathir sebab selain daripada Mahathir mengelat dalam pemilihan UMNO tahun 1988 dulu, dia juga mewakili suara RRM terutamanya bila krisis perlembagaan sekitar 90an dulu.31 tahun ke hadapan, Melayu hari ni ada banyak kabilah. Ada kabilah Najib, ada kabilah Muhyiddin, ada kabilah Hadi Awang, ada kabilah Mahathir, ada kabilah Anwar, ada kabilah Zahid, ada kabilah Syed Saddiq, dan sebagainya.

Kabilah-kabilah ini seperti kalau kita tengok zaman Empayar Mongol dulu, semua ada puak sendiri dan bawa kuda dan serang kabilah lain, atau buat perikatan dengan kabilah lain untuk lawan kabilah musuh.Jadi semuanya bersifat warlordism. Penubuhan Semangat 46 ialah kerana keluarga diraja tak puas hati dengan Mahathirisme, penubuhan PKR ialah kerana Anwar mahu melawan Mahathirisme, penubuhan PPBM ialah kerana Mahathir nak menentang Najib dalam UMNO, dan penubuhan Muda pula sebab Syed Saddiq sedang berusaha mengumpulkan kabilah yang lebih muda untuk menumpaskan semua kuda tua ni.Hakikatnya, untuk rakyat biasa macam kita ni, tiada apa kepentingan langsung pun. Kita macam orang kampung yang sekali sekala jumpa ketua kabilah yang kawal kawasan, bercerita tentang masalah bendang atau masalah di kampung.Tetapi apabila semua kabilah ni sedang berperang, nasib rakyat biasa macam kita ni, terabai.Dan dalam per@ng saudara ni, ada beberapa cara untuk teruskan hidup. Sertai kabilah dan lawan dengan kabilah yang lain, teruskan bertani dengan harapan kabilah-kabilah ni berhenti berg@duh, atau menjadi ninja – dengan berpihak dengan sesiapa sahaja yang perlukan khidmatnya.Kalau dulu ninja kerja dia bun0h orang, ninja zaman pasca moden ni dia troll orang dan buat meme macam Tentera Troll Kebangsaan Malaysia. Siapa bayar dia, siapa dia berpihak, kita pun tak tahu, tapi dia ada agenda dia sendiri.

PRU15 nampaknya macam semakin nak hampir. Orang kata mungkin inilah ‘ibu segala pilihanraya’ sebab tiada siapa tahu siapa yang akan menang. Semua kabilah dalam keadaan sama kuat sama lemah.

Pada aku, PRU15 ni, diharapkan menjadi penamat kepada segala sengketa yang berlangsung sejak 1998. Dah 23 tahun dah per@ng ni tak tamat.Kalau katakanlah PRU15 ni, UMNO menang. Satu je yang aku harapkan. Aku harap UMNO kembali jadi wadah untuk bangsa Melayu sebab masa 1946 dulu, penubuhan UMNO ialah untuk bangsa Melayu.Lepas tu berpecah-pecah jadi banyak kabilah Melayu yang lain.Tapi kalau UMNO kalah, katakan PPBM, atau PAS yang menang, adakah orang Melayu dah bersedia untuk wadah baru orang Melayu kepada parti-parti ini?Atau adakah mahu kabilah yang tidak berasaskan kaum, tapi kabilah ini menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Jadi, tajuk tulisan aku ni adalah melontarkan soalan, lepas ni orang Melayu nak ikut kabilah yang mana?Secara jujurnya, perang saudara selama 23 tahun dalam politik Melayu ni dah terlalu lama. Sekutu mungkin bertukar, mungkin akan ada tikam belakang lagi selepas ni, tapi, ke mana orang Melayu akan ikut bersama ketua hulubalang baru ini? -Buletin TTKM-


Nami merupakan seorang penulis novel yang juga aktif menulis mengenai politik, muzik dan sosial. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor.



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: