Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan pagi ini berkata beliau telah menemui para menteri dari parti Umno dan menasihati mereka untuk kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ini berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno hujung minggu lepas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU ke 15 secara rasmi.
Tambah Muhyiddin, dalam pertemuan yang itu dibuat pada Isnin lalu, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet selepas mendengar nasihat dari beliau.
“(Dalam pertemuan itu) Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet, berikutan keputusan PAU bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet,”
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kabinet akan terus berfungsi seperti biasa dengan keputusan yang dicapai dengan barisan menteri Umno itu apatah lagi beberapa menteri dari UMNO memegang portfolio penting dalam kerajaan.
“Beberapa orang menteri dari Umno memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini (untuk memerangi wabak Covid-19).
“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,”
PAU 2020 hujung minggu lalu turut memberikan mandat kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tarikh untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional.
Tambah Zahid, apabila tarikh itu diputuskan kelak, semua ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan meletak jawatan secara bersama.
Beliau turut mencabar seorang menteri daripada Umno yang tidak dinamakan, yang didakwanya sebagai makhluk perosak dan ‘menikam’ parti dari belakang.
Tan Sri Annuar Musa, Bekas setiausaha agung Umno sebagai respon berkata budaya cabar-mencabar tidak seharusnya digalakkan dalam parti kerana akan memberikan kesan yang buruk.
“Apa kata kalau orang lain pula yang cabar presiden? Bila presiden dicabar supaya meletakkan jawatan selepas diseret ke mahkamah, dalam tempoh satu minggu selepas saya dipecat, saya tidak bersetuju tekan presiden untuk letak jawatan.
“Kita diajar untuk menghormati institusi presiden dan ia perlu dihormati,”
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membayangkan Umno akan menarik diri daripada kerajaan pada Ogos ini, iaitu apabila penguatkuasaan darurat dijadual tamat.
Katanya, UMNO perlu menjadi dominan, dan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti itu, harus bersedia untuk menerima falsafah, asas perjuangan, serta kemampuannya untuk menjadi pengemudi. – Buletin TTKM-