“Bebaskan Fahmi” : Aktivis berhimpun depan IPD Dang Wangi

Kuala Lumpur, 23 April : Lebih kurang 25 aktivis melakukan himpunan solidariti di hadapan balai polis Dang Wangi bagi mendesak supaya aktivis grafik, Fahmi Reza dibebaskan dengan segera sebentar tadi.

Dengan membakar lilin dan memegang plakad “Solidariti”, aktivis-aktivis tersebut turut melaungkan “Bebas Fahmi”.

Seorang aktivis Nalini Elumalai yang dihubungi Buletin TTKM berkata satira bukanlah satu jenayah.

“Satira bukanlah satu jenayah. Jangan ancam kebebasan bersuara dan hak asasi manusia”. – Nalini Elumalai

Terdahulu Fahmi Reza telah ditahan kira-kira jam 7 malam dirumahnya.

Tangkapan ke atas Fahmi dibuat ada kaitan dengan hantaran dibuat aktivis terbabit mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Difahamkan selain disiasat mengikut Akta Hasutan, Fahmi juga berdepan dengan peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis pecah pintu”

Yohendra berkata tujuh anggota polis pergi di rumah Fahmi untuk membuat tangkapan berkenaan dan pintu rumahnya telah dipecahkan selepas Fahmi enggan membukanya kerana mahu menunggu peguam sampai terlebih dulu.

Pada 21 April lepas, Fahmi menaikkan satu hantaran berupa senarai 100 lagu dengan tajuk “This Is Dengki Ke” di mana kesemua lag tersebut berkisar kepada tajuk ‘dengki’. Senarai lagu itu turut dimuat naik di laman spotify. Hantaran itu mendapat 4.5k tanda suka dan 868 perkongsian.

Senarai lagu itu difahamkan merupakan satu satira yang ditujukan kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah setelah tandapagar #dengkike tular dan sohor kini di twitter.

Semalam, timbalan ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli bin Shaari membuat satu laporan polis terhadap akaun Fahmi Reza yang menurutnya ‘menghina institusi beraja khususnya Raja Permaisuri Agong”

“Saya sebenarnya sudah lama memantau individu ini yang nampaknya semakin kurang ajar dengan berselindung di sebalik karya seni. Kali ini saya harap beliau boleh diberikan pengajaran yang setimpal.” – Ahmad Fadhli bin Shaari

Fahmi kemudian menyindir timbalan ketua Pemuda Pas tersebut dengan mengatakan “Orang lain yang kena satira, dia pulak yang pergi report polis. Syabas YB! #TiketKeSyurga#DengkiKe sambil mengesahkan tidak akan memadamkan senarai lagu itu.

“Aku tak akan padamkan playlist “This Is #DengkiKe?” ini. Enjoy the playlist. F**k censorship. #SatireIsNotACrime” – Fahmi Reza

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.