Fahmi Reza direman sehari, majistret tolak permohonan polis tahan 4 hari.

Kuala Lumpur, 24 April: Majistret sebentar tadi membenarkan perintah reman untuk sehari ke atas aktivis grafik Fahmi Reza.

Menurut laporan Malaysiakini, permohonan polis untuk mendapat tahanan reman 4 hari ditolak Majistret Nitya Ravindran kerana alasan untuk penahanan yang lebih lama itu boleh dilakukan dalam sehari sahaja, kata peguamnya, Rajsurian Pillai.

“Ada tiga alasan yang diberikan oleh polis: untuk mengambil gambarnya, cap jari dan rakaman pernyataannya.

“Kami berpendapat bahawa semua itu dapat dilakukan dalam beberapa jam. Setelah mendengarkan hujah tersebut, majistret yang arif memutuskan untuk memberikan reman satu hari,” kata Rajsurian.

Rajsurian berkata, Fahmi akan membuat pernyataannya dirakam pada tengah hari ini oleh pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dari unit jenayah rahsia Bukit Aman dan dijangka dibebaskan sebelum 6 petang hari ini.

Terdahulu, sekumpulan kira-kira 20 aktivis di luar balai polis daerah Dang Wangi pagi ini sebagai tanda solidariti dengan aktivis artis Fahmi Reza yang ditahan sebelum waktu berbuka semalam.

Khalid Ismath berucap. Gambar oleh Sivaranjani.

“Untuk semua yang berhimpun di sini, jaga penjarakan sosial kerana jika tidak, polis berkata pihaknya akan mengeluarkan kompaun,” kata Khalid Ismath, pengarah eksekutif EDICT ketika berucap kepada hadirin di hadapan balai polis Dang Wangi.

Dia juga berkata beberapa aktivis yang hadir hari ini juga pernah berkumpul di tempat yang sama ketika Fahmi ditahan untuk siasatan kes menghalang penjawat awam ketika Protes Pendidikan Percuma dan Occupy Dataran pada sembilan tahun yang lalu.

Dihubungi Buletin TTKM, Khalid Ismath berkata himpunan pagi ini diadakan sebagai tanda solidariti kepada Fahmi Reza yang telah ditahan kerana satu grafik satira mengenai Permaisuri YDPA.

“Kami merasakan penahanan ini tidak perlu dan sekiranya pihak polis mempunyai asas untuk mendakwa, sila terus dakwa di mahkamah. Tidak ada keperluan untuk reman.” – Khalid Ismath

Fahmi ditahan selepas menaikkan senarai 100 lagu dengan tajuk “This Is Dengki Ke” di mana kesemua lagu tersebut berkisar kepada tajuk ‘dengki’. Senarai lagu itu turut dimuat naik di laman spotify.

Senarai lagu itu difahamkan merupakan satu satira yang ditujukan kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah setelah tandapagar #dengkike tular dan sohor kini di twitter.

Kelmarin, timbalan ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli bin Shaari membuat satu laporan polis terhadap akaun Fahmi Reza yang menurutnya ‘menghina institusi beraja khususnya Raja Permaisuri Agong”

“Saya sebenarnya sudah lama memantau individu ini yang nampaknya semakin kurang ajar dengan berselindung di sebalik karya seni. Kali ini saya harap beliau boleh diberikan pengajaran yang setimpal.” – Ahmad Fadhli bin Shaari

Fahmi kemudian menyindir timbalan ketua Pemuda Pas tersebut dengan mengatakan “Orang lain yang kena satira, dia pulak yang pergi report polis. Syabas YB! #TiketKeSyurga#DengkiKe sambil mengesahkan tidak akan memadamkan senarai lagu itu.

“Aku tak akan padamkan playlist “This Is #DengkiKe?” ini. Enjoy the playlist. F**k censorship. #SatireIsNotACrime” – Fahmi Reza

Menurut Bukit Aman, kes Fahmi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.