Ingkar SOP ziarah: Exco PAS Terengganu serah diri, dikompaun

Gambar dari facebook Dr Azman Ibrahim

Besut, 14 Mei: Adun PAS Jabi, Dr Azman Ibrahim dikompaun polis kerana melanggar SOP Covid-19 untuk sambutan hari raya yang melarang sebarang aktiviti ziarah-menziarahi.

Beliau yang juga merupakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, mengesahkan perkara itu dalam satu hantaran di facebooknya dan berkata akan menjelaskan kompaun tersebut seberapa segera.

“Alhamdulillah, hadir memberi keterangan kepada ASP Syed Mohammad, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut dan menerima surat Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan. YB juga dihukum sebagaimana rakyat biasa dengan kadar tawaran kompaun yang sama. InsyaAllah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas dari undang-undang.” – Dr Azman Ibrahim.

Terdahulu, beliau mengakui menerima tetamu pada hari raya pertama itu tetapi berkata beliau tiada menganjurkan rumah terbuka.

Tambahnya lagi adalah tidak munasabah untuk “menutup pintu dan kunci kemas kemudian suruh rakyat balik kerana ziarah raya tak dibenarkan sedangkan hari-hari lain dalam tempoh PKP selalu saja rakyat mari rumah.”

Terdahulu seorang ahli PAS, Zakaria Mahmud menaikkan 2 keping gambar beliau menziarahi rumah Dr Azman selepas menunaikan solat Idulfitri. Hantaran itu dipadamkan setelah tular dan mendapat kecaman di media sosial kerana dengan jelas melanggar SOP Covid-19 yang melarang aktiviti ziarah-menziarahi.

Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapakan jumlah kompaun yang diterima oleh adun PAS tersebut. Buletin TTKM sudah menghubungi IPD Besut untuk pengesahan dan kini sedang menunggu maklum balas.

Pada 12 Mei, Majlis Keselamatan Negara menerbitkan SOP covid-19 untuk sambutan hari raya aidil fitri. Antara perkara yang dilarang adalah ziarah-menziarahi, rumah terbuka dan melawat kubur disamping tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri. -Buletin TTKM-

SOP sambutan Hari Raya.



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: