PKP penuh tutup ekonomi bagai marahkan nyamuk, kelambu dibakar – Tengku Zafrul

Oleh : Tengku Zafrul

Sejauh manakah keberkesanan PKP 1.0 dan 2.0? Jika kita merujuk kepada graf di atas, kedua-dua PKP telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan ketara tetapi apabila kita semua mula leka dan tidak lagi mematuhi SOP sepenuhnya, terutamanya dengan pembukaan lebih banyak aktiviti sosial, maka kes kembali meningkat dengan mendadak.⠀

PKP 1.0 telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 tetapi dengan impak yang mendalam kepada ekonomi & mengakibatkan kehilangan pekerjaan⠀

• PKP 1.0 dianggarkan telah memberi kesan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara⠀

• Dengan pelaksanaan PKP 1.0 dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020, ekonomi negara telah menguncup — Mac 2020: -5.9%; April 2020: -28.8%; Mei 2020: -19.7%

• Penguncupan KDNK -17.1% pada suku kedua 2020 adalah penguncupan paling besar dalam sejarah Malaysia dan prestasi paling buruk di rantau ASEAN

• PKP 1.0 juga telah mengakibatkan pengangguran meningkat dari 3.2% atau 511,700 penganggur pada Januari 2020 dan mencapai tahap 5.3% atau 826,100 penganggur pada Mei 2020 (pengangguran tertinggi sejak krisis komoditi pada akhir 1980-an)⠀

Jika dibandingkan, PKP 2.0 telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan impak negatif yang jauh lebih rendah kepada ekonomi dan pekerjaan. Oleh itu, kita tidak harus kembali kepada pendekatan PKP 1.0 iaitu dengan penutupan ekonomi secara menyeluruh.⠀

• PKP 2.0 yang dilaksanakan antara 13 Januari sehingga 18 Februari 2021, juga telah berjaya mencapai penurunan yang ketara dalam jumlah purata kes baharu COVID-19 harian daripada hampir 3,500 pada bulan Januari kepada kurang daripada 1,500 pada bulan Mac 2021⠀

• Walau bagaimanapun, pengurangan kes di bawah PKP 2.0 dicapai dengan impak kerugian yang lebih rendah kepada ekonomi iaitu sebanyak RM300 juta sehari

• Pendekatan PKP 2.0 yang lebih bersasar berserta langkah-langkah proaktif Kerajaan telah meletakkan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi dengan suku pertama 2021 mencatatkan penguncupan yang lebih kecil — Januari 2021: -3.5%; Februari 2021: -3.6% dan pertumbuhan positif pada Mac 2021 iaitu pada 6%. Sekiranya, tindakan penutupan ekonomi secara menyeluruh seperti PKP 1.0 diambil, ini akan mengakibatkan negara tergelincir dari landasan pemulihan ekonomi dan menggugat kemungkinan Malaysia mencapai pertumbuhan 6.0-7.5% bagi tahun 2021 seperti yang diunjurkan pelbagai pihak termasuk BNM, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).⠀

• Penguncupan KDNK -0.5% pada suku pertama 2021 adalah satu peningkatan berbanding penguncupan -3.4% pada suku ke-4 2020 dan meletakkan Malaysia pada landasan pemulihan pada tahun 2021, dengan andaian sektor ekonomi utama akan dapat terus beroperasi⠀

• PKP 2.0 juga tidak menyebabkan kenaikan pengangguran yang ketara — Dis 2020: 4.8%; Jan 2021: 4.9%; Feb 2021: 4.8% dan semakin pulih pada bulan Mac 2021: 4.7% atau 753,200 yang menganggur⠀

• Namun, dianggarkan bahawa dengan penutupan penuh kegiatan ekonomi seperti PKP 1.0, bilangan rakyat yang menganggur dijangka mencecah 1 juta.

• Di samping itu, penutupan aktiviti ekonomi akan
memberi kesan negatif terhadap pendapatan 2.8 juta pekerja sektor informal yang pada masa ini berada dalam keadaan yang mudah terjejas.⠀

Bak kata pepatah, marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Dalam kesungguhan kita mencegah penularan COVID-19, kita tidak seharusnya mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan juga nasib golongan rentan. Secara amnya, kedua-dua PKP telah lberjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan ketara tetapi PKP 2.0 mencapai sasarannya tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. ⠀

Dengan pengajaran dari gelombang pertama COVID-19, TIDAK ADA negara lain di dunia yang menutup sepenuhnya ekonomi mereka dalam menghadapi gelombang kedua dan ketiga COVID-19, Sebaliknya mereka hanya mengetatkan SOP dan menghadkan aktiviti sosial sahaja. Inilah juga pendekatan Malaysia. ⠀

Pokoknya, pencegahan COVID-19 kembali kepada kita. Dengan pematuhan SOP yang ketat dan program vaksinasi yang meluas, Insya Allah kita mampu mengatasinya. Teguh kita, menang bersama.

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.