Tak pakai pelitup muka: Polis siasat Neelofa

SEREMBAN, 21 Mei – Polis akan menjalankan siasatan terhadap selebriti Noor Neelofa Mohd Noor yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban semalam.

Sinar Harian memetik Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim sebagai berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara itu.

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.

“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, penjelasan berkenaan perkara itu telah dikeluarkan juga oleh KKM apabila kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam bermula 1 Ogos tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,”

Pada Khamis, laman facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia menaikkan satu hantaran gambar Neelofa (oleh Malaysian Gazzete) bersama suaminya ketika menuju ke Kompleks Mahkamah Seremban,

“haluu pulis. Dia pakai mask ke tak tu? Mohon siasat. Jangan bagi muka. Rakyat marhaen tak pakai face mask laju je kena.”- TTKM

Dalam gambar tersebut, wajah beliau di sebalik niqab menunjukkan seolah-olah selebriti itu tidak memakai sebarang pelitup muka.

Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis atas pertuduhan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Neelofa, 32, gagal mematuhi SOP PKPB yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd atau menulis secara manual nama dan nombor telefon yang boleh dibaca sebelum memasuki premis itu.

Muhammad Haris, 26, juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan pertuduhan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Sebelum ini Neelofa dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semalam satu petisyen atas talian bertajuk “Langgar SOP: PDRM, Penjarakan Neelofa Segera” mendesak supaya selebriti itu dipenjarakan kerana berulang kali melanggar SOP Covid-19.

Setakat ini petisyen tersebut mendapat hampir 60k tandatangan. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.