PKP Penuh 2 minggu mula 1 jun

Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun PKP penuh akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media malam tadi setelah kes harian covid-19 di Malaysia telah melebihi 8000 kes sehari dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Manakala seramai 2,552 orang telah meninggal dunia dan jumlah kematian semakin meningkat hari ke hari.

Sebelum ini perdana menteri enggan melaksanakan PKP Penuh kerana menurutnya negara akan kerugian RM2.4 bilion sehari sekiranya langkah tersebut diambil.

Perkara tersebut turut dipersetujui menteri MITI, Datuk Azmin Ali yang berkata PKP Penuh akan menyebabkan 1 juta kehilangan pekerjaan. Manakala menteri kewangan, Dato Sri Tengku Zafrul pula sebelum ini berkata PKP Penuh adalah ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Pada 17 Mei lepas, Menteri Kesihatan, Dato Seri Adham Baba mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berskala penuh di Selangor berikutan kes covid-19 di negeri tersebut yang semakin meningkat.

Berikut merupakan kenyataan penuh PEJABAT PERDANA MENTERI:


Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri petang tadi telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun `total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.


Sepanjang tempoh ini, SEMUA sektor TIDAK DIBENARKAN untuk beroperasi KECUALI sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini.


Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad.


Sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, Kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. Lockdown Fasa Kedua ini akandilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.


Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.


Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara. Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.


Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.


Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau STAY AT HOME untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.


PEJABAT PERDANA MENTERI PUTRAJAYA 28 Mei 2021

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.