Kuala Lumpur, 16 Jun: Setiausaha akhbar menteri besar kedah, Muhamad Mat Yakim membidas netizen yang membuat serangan terhadap individu, pemimpin politik dan selebriti tertentu.
Tindakan tersebut menurutnya yang semakin menjadi-jadi menerusi media sosial, bertindak seperti mahkamah menjatuhkan hukum lebih awal walaupun mereka belum dibuktikan bersalah.
“Tujuannya untuk membina persepsi buruk yang kemudian membawa kepada budaya menghukum di media sosial sebelum perundangan dilaksanakan. ” – Muhamad Mat Yakim
Beliau turut mendakwa netizen yang sering mengaku berpegang kepada keadilan, sering mengetepikan prinsip kedaulatan undang-undang dalam konteks tersebut dan menggesa supaya budaya yang menurutnya membahayakan peradaban, perlu dihentikan dengan kesedaran kendiri.
“Tidak kira apa jua motif, Islam melarang keras seseorang membuka aib orang lain kerana secara prinsip, Allah SWT memuliakan setiap hamba-Nya yang beriman selagi dia tidak membuka aib sendiri.” – Muhamad Mat Yakim
Beliau juga berkata pertembungan di media sosial mengenai perkara ini sering membabitkan penyokong politik, terutama cybertroopers berbayar.
“Sesetengahnya dibayar untuk menyebarkan cerita baik mengenai individu yang membayar, pada masa sama menyerang lawannya.” – Muhamad Mat Yakim
Beliau berkata demikian dalam satu artikelnya yang bertajuk “Manfaatkan media sosial wadah sebar mesej positif” yang disiarkan di Berita Harian hari ini.
Pada minggu lepas, netizen yang menggunakan nama akaun “Nini Siron” menularkan gambar menteri besar Kedah yang didakwanya melanggar SOP Covid-19 di kedai pameran Ford dekat Juru, Kedah.
MB Kedah, Mohd Sanusi menafikan beliau melakukan pandu uji, sebaliknya berkata hanya duduk di kerusi penumpang, pengawalnya di tempat duduk belakang, manakala penjual kereta yang melakukan pemanduan.
SOP Covid antaranya menghadkan dua orang dalam satu kereta kecuali untuk tujuan menghantar pesakit.
Insiden itu kini sedang dalam siasatan polis. -Buletin TTKM-