Portal berita AgendaDaily memohon maaf kepada Isham Jalil, ketua penerangan BN Selangor berikutan laporan portal tersebut bertajuk “Penyokong fanatik Najib ugut kudeta jika Parlimen tidak dibuka”.
Pemerhatian Buletin TTKM sebentar tadi mendapati tajuk laporan tersebut juga sudah ditukar kepada “Nak restore demokrasi kita terpaksa buat macam Thailand pula: Isham Jalil” . Walau bagaimanapun, portal tersebut menafikan laporannya adalah berniat jahat.
Tajuk Sebelum:

Tajuk selepas:

“Pembetulan tajuk berita selepas didakwa berunsur fitnah dan berniat jahat oleh Isham Jalil. Agenda Daily menukar tajuk dan menafikan laporan tersebut adalah berniat jahat dan hanya melaporkan berita berdasarkan konteks ucapan dalam video yang dimuat naik. Dalam ucapannya, perkataan ‘kudeta’ dan ‘rampasan kuasa’ memberikan kekeliruan dan niat individu tersebut bercakap sedemikian juga menjadi persoalan. Bagi sidang redaksi, kami meminta maaf sekiranya terdapat kekeliruan dan terasa hati dengan laporan kami.” – Editor Agenda Daily.
Terdahulu, Isham Jalil berkata artikel tersebut berunsur fitnah dan berniat jahat ke atas dirinya. Beliau memberikan tempoh 7 hari untuk portal tersebut membetulkan artikel dan memohon maaf.
“Saya memberi tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh hari ini untuk portal tersebut membetulkan artikel tersebut dan memberi peluang kepada mereka untuk meminta maaf secara terbuka jika mereka telah terkhilaf. Sekiranya perkara di atas tidak dilakukan oleh mereka dengan memuaskan, saya akan mengambil langkah seterusnya.” – Isham Jalil
(Kandungan penuh kenyataan yang didakwa diputar belit itu boleh ditonton pada minit 12:20 ke atas:)
Pada video secara langsung di laman facebook sebentar tadi, Isham Jalil menjelaskan kenyataannya semalam melibatkan tiga perkara tetapi diputar belit dan dikerat-kerat sebahagiannya sahaja.
“Berkenaan dengan krisis yang berlaku di Thailand itu merupakan perkara ketiga. Bukan sahaja mereka sudah kerat perkara ketiga itu, mereka telah kerat lagi dalam perkara ketiga iyu dan ambil pilih mereka mahu sahaja dan tajuk itu menggambarkan benda yang tidak betul.”
Katanya lagi portal tersebut boleh diambil tindakan di bawah tindakan sivil dan juga kriminal di bawah akta SKMM 233.
“Bila kita nak putar belit tu, fakta tu biar betullah… Yang boleh ugut kudeta ini adalah pihak tentera sahaja , atau pemimpin tentera , rakyat biasa seperti kita ini mana boleh ugut kudeta, jadi di situ sudah berlaku kesilapan fakta” – Isham Jalil.
Kelmarin, YDP Agong menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Dalam satu kenyataan istana yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.
“Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya
Walaubagaimanapun, menteri undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Dato Takiyuddin mentafsirkan “secepat mungkin” itu adalah tiga bulan dari sekarang iaitu pada bulan September.
“Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin.
Perdana Menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September…sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan,” – Takiyuddin. – Buletin TTKM-