Dikompaun RM2k kerana ‘jogging di tempat terbuka”.

Putatan 24 Jun: Seorang lelaki yang sedang berjogging terkejut kerana ditahan polis, dibawa kebalai kemudian dikompaun sebanyak RM2000 atas kesalahan “melakukan aktiviti terlarang iaitu berjogging di tempat terbuka”.

Dihubungi Buletin TTKM, lelaki tersebut yang enggan dinamakan berkata jarak dari rumahnya ke tempat ditahan cuma beberapa ratus meter.

Hasil pemeriksaan Buletin TTKM di Google Earth mendapati jarak tersebut adalah dalam lingkungan 344 meter.

Beliau yang menetap di Taman Pasir Putih berkata kawasan rumahnya juga bukan dalam kawasan yang tertakluk kepada PKPD dan turut mempersoalkan SOP tersebut.

“PKPD di taman sebelah. Saya masih bebas keluar dalam radius 10km.

Apakah maksud ‘kejiranan”? Saya tinggal di kawasan apartment, adakah kawasan kejiranan hanya di sekitar pagar apartment atau boleh melintasi luar kawasan apartment? Saya pun keliru dengan SOP ini. Apakah bezanya pula dengan mereka yang tinggal di kediaman teres yang tidak berpagar?”

Tidak puas hati dengan kompaun tersebut, beliau berkata akan menemui pegawai daerah kesihatan bagi merayu supaya kompaun tersebut dibatalkan.

“Saya lihat ramai kawan-kawan lain setiap hari mengemaskini media sosial mengenai hantaran berjogging di kawasan kejiranan mereka. Kenapa mereka bebas berjogging dan saya dikompaun? Ini jelas tidak adil” tambah beliau.

Menurut SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan juga KBS, berjogging dikawasan kejiranan yang sama adalah dibenarkan.

“Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan secara individu di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal TERHAD kepada joging dan senaman sahaja dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurangkurangnya 2 hingga 3 meter dan dilakukan di kawasan kejirananbermula 7.00 pagi sehingga 8.00 malam.” – SOP MKN, 14 Jun 2021.

Buletin TTKM sudah menghubungi pihak KBS dan sedang menunggu jawapan.

-Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.