Kuala Lumpur, 30 Jun: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimasukkan ke hospital setelah mengalami cirit-birit sejak semalam.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan ringkas 2 perenggan, 33 patah perkataan pagi ini.
“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah mengalami diarea sejak semalam.
“Sehubungan itu beliau telah didaftar masuk ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan,”

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong semalam memberitahu speaker dewan rakyat dan dewan negara supaya diadakan sidang parlimen secepat mungkin.
Ini merupakan kali kedua baginda menzahirkan hal yang sama.
Baginda berkata demikian setelah menemui speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, timbalan speaker Azalina Said Othman dan Mohd Rashid Hasnon. Manakala pengerusi Dewan Negara, Rais Yatim dan timbalannya Mohamad Ali Mohamad turut dipanggil mengadap hari ini di Istana Negara.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin selaku Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
-Buletin TTKM-