Tapah: Empat kilang di Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini, diarahkan tutup serta merta.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kilang itu dipercayai punca berlakunya penularan Covid-19 di mukim berkenaan dan pekerja kilang yang kebanyakannya warga asing, kini ditempatkan di dua bangunan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sungkai dan Chenderiang, lapor Harian Metro.
Katanya, pekerja warga asing itu kebanyakannya menyewa rumah di kawasan perumahan, bukan tinggal di asrama.
“Kalau pekerja ini tinggal di asrama, sudah tentu mudah kita mengawal pergerakan mereka dan mungkin hanya perlu buat PKPD di asrama sahaja.
“Tapi mereka tinggal di rumah sewa, jadi semua kilang ini ditutup, pekerjanya dipindahkan ke PLKN untuk memudahkan mengawal pergerakan mereka, sekali gus mengelak penularan wabak,”
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road, di sini.
Saarani berkata, pengasingan pekerja warga asing di PLKN juga akan memudahkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian calitan kepada mereka dan penduduk tempatan.
Beliau turut mengingatkan mereka terbabit dalam kawasan PKPD itu supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, manakala bantuan makanan akan diagih termasuk dikelola parlimen itu yang membabitkan 7,000 kotak makanan.
Katanya, dua mukim itu mempunyai kira-kira 22,000 rumah dan kerajaan negeri akan menambah peruntukan bantuan bagi membantu penduduk meneruskan kelangsungan hidup.
PKPD Mukim Bidor dan Batang Padang hingga 23 Julai, selepas KKM mengesan 523 kes positif Covid-19 dan menunjukkan peningkatan.
Semalam kes covid di seluruh negara mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak 9,353 kes melibatkan 870 kluster. aktif. Sebanyak 29 kluster baru dicatatkan semalam di mana 19 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 5 komuniti, 2 kumpulan berisiko tinggi dan 3 pusat tahanan.
MITI dalam satu kenyataan berkata ebih banyak sektor dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor bermula 7 Julai 2021.
MITI berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dan dibincangkan bersama antara MITI, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Kata kenyataan itu, sektor yang dibenarkan adalah sektor elektrik dan elektronik serta rantaiannya; sektor aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan); sektor mesin dan peralatan yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan; dan syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.
Kenyataan MITI tersebut mengundang kemarahan netizen yang bertindak menyerang laman facebook menteri MITI, Azmin Ali menyebabkan pentadbir laman tersebut menutup ruang komen selama beberapa hari sebelum dibuka semula semalam.