Ahli Akademik dan penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Mohammad Agus Yusoff berkata negara tidak gagal, tetapi kerajaan gagal.
Kegagalan kerajaan itu menurut beliau adalah gagal dari segi mengurus Covid dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat.
“Rakyat juga tidak kata negara gagal, rakyat cuma kata kerajaan gagal. Antara negara gagal dengan kerajaan gagal itu berbeza.” – Prof Mohammad Agus Yusoff
Beliau turut berkata pengisytiharan darurat untuk melawan Covid ternyata tidak berkesan.
“Akibat darurat parlimen dikunci. Demokrasi dig@ntung. Impaknya tidak ada semak dan imbang. Lebih teruk SOP dua darjat. Hukuman pula bukan untuk mendidik dan mencegah, tetapi menghuk0m. Denda dikenakan di luar kemampuan rakyat. PKP menjadikan rakyat susah. Ada yang bun0h diri kerana tekanan hidup.” – Prof Mohammad Agus Yusoff
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di facebooknya pagi tadi mengulas respon menteri yang berkata negara kita tidak gagal berhubung Ranking Ketahanan Covid-19 Bloomberg yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-51 daripada 53 negara yang gagal mengurus Covid-19.
Semalam, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyangkal dakwaan kolumnis berita Bloomberg kononnya Malaysia menuju menjadi sebuah negara yang gagal.
Tegas beliau, ketika berdepan krisis Covid-19, sistem pentadbiran negara kekal berfungsi dalam semua aspek termasuk kesihatan dan keselamatan, malah,semua institusi sama ada kerajaan atau swasta masih beroperasi seperti biasa.
“Keadaan Malaysia ketika ini, walau dalam keadaan krisis, masih seperti biasa. Ahli politik juga bekerja dan kalau kerajaan gagal, maka sistem politik semuanya lumpuh. Sekarang ini, semua institusi terus berfungsi.” – Datuk Seri Mustapa Mohamed
Semalam negara mencatatkan 9353 kes positif covid-19, paling tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara.
Pada 16 Jun lepas, Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tidak ada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini. – Buletin TTKM-