Pemilik Rumah Bonda ditahan, siasatan kes mencederakan dan ugutan jenayah.

Gambar hiasan ehsan Harian Metro

Kuala Lumpur: Pemilik Rumah Bonda ditahan polis pagi semalam bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Harian Metro memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan 10.30 pagi semalam.

Katanya, dia ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” -Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan

Menurutnya, polis mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Masyarakat perlu memahami, kita perlu ambil kira banyak aspek perundangan ketika jalankan siasatan, termasuk hak undang-undang serta keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk situasi semasa.

“Sehubungan itu, kita minta masyarakat untuk terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka,”

4 laporan polis

Buletin TTKM difahamkan terdapat 4 laporan polis baharu dibuat semalam yang dikaitkan dengan pengasas Rumah Bonda.

3 laporan dibuat oleh bekas penghuni manakala 1 lagi dibuat oleh ibu kepada salah seorang penghuni.

Salah satu laporan polis yang dilihat Buletin TTKM, pengadu menyenaraikan tujuh keadaan yang menurutnya mencurigakan di pusat jagaan tersebut selain mengesahkan melihat kecederaan luka pada salah seorang kanak-kanak OKU pada Mac 2021 yang menurutnya adalah akibat dirotan dan dicubit.

Beliau turut mendakwa diberi arahan untuk memberi makan kepada kanak-kanak OKU itu sekali sehari sahaja dan minum 1 gelas air sehari.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, YB Dato Siti Zailah berkata bahawa tidak akan ada pihak yang akan terlepas dalam kes ini walau apa juga ‘kabel’ yang akan digunakan.

Beliau berkata demikian sebagai memetik ACP Puan Siti Kamsiah, D11 PDRM yang menguruskan kes ini secara langsung.

Kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak PKU terbabit.

Pada 7 Julai lepas, peguam pengasas Rumah Bonda terbabit, Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners dalam satu kenyataan, berkata pihak rumah bonda menafikan sekeras-kerasnya tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap pengasas rumah bonda khususnya berkaitan dengan penderaan yang dilakukan ke atas adik Bella yang sedang tular di media sosial.

“Perkara ini adalah masih dalam proses siasatan polis dan pihak Rumah Bonda melalui pengasasnya telahpun bekerjasama dengan pihak polis semenjak hari pertama laporan polis dibuat ke atas beliau.”

– Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners

Dua laporan polis dan surat tuntuan

Dalam kenyataan itu juga, dinyatakan pihak Rumah Bonda telah membuat “dua laporan polis ke atas dua individu yang menyebarkan fitnah ke atas mereka serta mengeluarkan surat tuntutan kepada dua individu tersebut yang memulakan fitnah dan tohmahan yang kini menjejaskan nama baik Rumah Bonda”.

“Perbuatan dua individu itu juga telah menyebabkan ketakutan dan tekanan kepada penghuni rumah Bonda serta anak-anak jagaan sah pengasas Rumah Bonda”

Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners

Sementara itu, Mona Din, salah seorang individu yang menularkan isu terbabit di facebook mengesahkan menerima LOD tersebut.

“Pada 7 Julai 2021, saya terima LOD / Surat Tuntutan dari pihak Rumah Bonda mengugut nak buat saman fitnah dan minta saya buat permohonan maaf dalam masa tiga (3) hari dan menarik balik kenyataan yang saya telah viralkan.

Mona Din

Pada 12 Julai lepas, Rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kes penderaan anak istimewa kelainan upaya (OKU) Sindrom Down dikenali sebagai Bella iaitu Rumah Bonda disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapor Kosmo!

Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, tindakan sita tersebut diambil setelah pihaknya mendapat Rumah Bonda tidak berdaftar dengan JKM.

“Kita telah ambil langkah proaktif yang mana kita mendapati Rumah Bonda ini telah melakukan pelanggaran syarat dalam menentukan premis pengoperasian sebagai sebuah pusat jagaan.

“Tindakan sita ini kekal sehinggalah adanya perintah mahkamah untuk membukanya semula,”

Che Samsuzuki Che Noh

Mengulas lanjut, Che Samsuzuki berkata, sekiranya Rumah Bonda mahu meneruskan operasi, mereka harus mendapatkan kelulusan daripada bomba, Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan sebelum permohonan untuk beroperasi dibuat dengan JKM.

Bagaimanapun, penasihat Rumah Bonda, Syed Azmi pada 8 Julai melalui satu video secara langsung di facebooknya, berkata kelulusan daripada Bomba baru diperoleh pada tahun ini.

“Kita dah mohon lesen ni dah lama. Tapi ada banyak, bukan satu orang je bagi lesen. Yang tahun ini paling latest, kita baru dapat kelulusan daripada bomba. Jadi kena buat renovation dan sebagainya baru kita dapat lesen, jadi itu memang dalam proses”

Syed Azmi, penasihat Rumah Bonda

Sejak awal bulan ini, netizen mendesak supaya pihak yang bertanggung jawab melakukan pada kanak-kanak OKU terbabit supaya direman dan didakwa di mahkamah.

Berikutan itu, kempen menggunakan tanda pagar #JusticeForBella menjadi sohor kini di twitter, facebook dan IG. -Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: