Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap pengasas dan juga pemilik Rumah Bonda yang disyaki terlibat kes penderaan remaja OKU berusia 13 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu kini telah dibebaskan, lapor Astro Awani.
“Pengasas pusat perlindungan Rumah Bonda di Setapak Kuala Lumpur telah ditangkap pada 15 Julai jam 10.36 pagi di kediamannya di Wangsa maju. Permohonan reman telah dibuat pada hari ini namun mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut dan suspek dibebaskan
Datuk Seri Abd Jalil Hassan
Sementara itu, Abd Jalil memaklumkan siasatan kes telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu bagi cadangan menuduh suspek serta tiga lagi individu lain.Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 5(2) Akta Pusat Asuhan 1953.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak (D11),Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan penahan suspek dibuat bagi membantu siasatan berhubung kes mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah.
4 laporan polis
Buletin TTKM difahamkan terdapat 4 laporan polis baharu dibuat semalam yang dikaitkan dengan pengasas Rumah Bonda.
3 laporan dibuat oleh bekas penghuni manakala 1 lagi dibuat oleh ibu kepada salah seorang penghuni.
Salah satu laporan polis yang dilihat Buletin TTKM, pengadu menyenaraikan tujuh keadaan yang menurutnya mencurigakan di pusat jagaan tersebut selain mengesahkan melihat kecederaan luka pada salah seorang kanak-kanak OKU pada Mac 2021 yang menurutnya adalah akibat dirotan dan dicubit.
Beliau turut mendakwa diberi arahan untuk memberi makan kepada kanak-kanak OKU itu sekali sehari sahaja dan minum 1 gelas air sehari.
Sementara itu, Buletin TTKM mendapati salah seorang peguam Rumah Bonda, Aminahtul Mardiah Md Nor dari Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners, merupakan seorang bekas majistret dan bekas timbalan pendakwa raya.
Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, YB Dato Siti Zailah berkata bahawa tidak akan ada pihak yang akan terlepas dalam kes ini walau apa juga ‘kabel’ yang akan digunakan.
Beliau berkata demikian sebagai memetik ACP Puan Siti Kamsiah, D11 PDRM yang menguruskan kes ini secara langsung.

Pada 7 Julai lepas, peguam pengasas Rumah Bonda terbabit, Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners dalam satu kenyataan, berkata pihak rumah bonda menafikan sekeras-kerasnya tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap pengasas rumah bonda khususnya berkaitan dengan penderaan yang dilakukan ke atas adik Bella yang sedang tular di media sosial.
“Perkara ini adalah masih dalam proses siasatan polis dan pihak Rumah Bonda melalui pengasasnya telahpun bekerjasama dengan pihak polis semenjak hari pertama laporan polis dibuat ke atas beliau.”
– Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners
Dua laporan polis dan surat tuntuan
Dalam kenyataan itu juga, dinyatakan pihak Rumah Bonda telah membuat “dua laporan polis ke atas dua individu yang menyebarkan fitnah ke atas mereka serta mengeluarkan surat tuntutan kepada dua individu tersebut yang memulakan fitnah dan tohmahan yang kini menjejaskan nama baik Rumah Bonda”.
“Perbuatan dua individu itu juga telah menyebabkan ketakutan dan tekanan kepada penghuni rumah Bonda serta anak-anak jagaan sah pengasas Rumah Bonda”
Chambers of Aminahtul Mardiah, Razif Abd Aziz & Partners
Sementara itu, Mona Din, salah seorang individu yang menularkan isu terbabit di facebook mengesahkan menerima LOD tersebut.
“Pada 7 Julai 2021, saya terima LOD / Surat Tuntutan dari pihak Rumah Bonda mengugut nak buat saman fitnah dan minta saya buat permohonan maaf dalam masa tiga (3) hari dan menarik balik kenyataan yang saya telah viralkan.”
Mona Din
Pada 12 Julai lepas, Rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kes penderaan anak istimewa kelainan upaya (OKU) Sindrom Down dikenali sebagai Bella iaitu Rumah Bonda disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapor Kosmo!
Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, tindakan sita tersebut diambil setelah pihaknya mendapat Rumah Bonda tidak berdaftar dengan JKM.
“Kita telah ambil langkah proaktif yang mana kita mendapati Rumah Bonda ini telah melakukan pelanggaran syarat dalam menentukan premis pengoperasian sebagai sebuah pusat jagaan.
“Tindakan sita ini kekal sehinggalah adanya perintah mahkamah untuk membukanya semula,”
Che Samsuzuki Che Noh
Mengulas lanjut, Che Samsuzuki berkata, sekiranya Rumah Bonda mahu meneruskan operasi, mereka harus mendapatkan kelulusan daripada bomba, Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan sebelum permohonan untuk beroperasi dibuat dengan JKM.
Bagaimanapun, penasihat Rumah Bonda, Syed Azmi pada 8 Julai melalui satu video secara langsung di facebooknya, berkata kelulusan daripada Bomba baru diperoleh pada tahun ini.
“Kita dah mohon lesen ni dah lama. Tapi ada banyak, bukan satu orang je bagi lesen. Yang tahun ini paling latest, kita baru dapat kelulusan daripada bomba. Jadi kena buat renovation dan sebagainya baru kita dapat lesen, jadi itu memang dalam proses”
Syed Azmi, penasihat Rumah Bonda
Sejak awal bulan ini, netizen mendesak supaya pihak yang bertanggung jawab melakukan pada kanak-kanak OKU terbabit supaya direman dan didakwa di mahkamah.
Berikutan itu, kempen menggunakan tanda pagar #JusticeForBella menjadi sohor kini di twitter, facebook dan IG. -Buletin TTKM-