Kuala Lumpur, 21 Julai: Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq mengesahkan beliau akan didakwa esok di mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.
Beliau turut berkata sudah lebih setahun diugut akan didakwa sekiranya tidak menyertai Perikatan Nasional.
“Setiap kali ada undian penting di parlimen, ugutan akan datang. (ugutan itu berlaku) pada bulan julai, disember, januari dan kini seminggu sebelum parlimen bersidang”
Syed Saddiq
Katanya lagi, beliau tidak akan menjual prinsip dan jiwanya kepada Perikatan Nasional dan mengambil sikap berani kerana benar.
Tambahnya lagi, beliau akan mengadakan sidang live pada 8 malam untuk pendedahan lanjut.
“Kebenaran akan sentiasa menang. Saya lebih rela masuk mahkamah, dari masuk Perikatan Nasional”
Syed Saddiq
Syed Saddiq berkata demikian dalam satu video berdurasi 53 saat di laman facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang bekas Menteri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Rasuah Jalan Duta jam 9 pagi esok berhubung penyelewengan berjumlah lebih RM1 juta wang peruntukan sebuah parti politik.
Menurut sumber, bekas menteri itu dijangka akan berhadapan dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.
“Jumlah keseluruhan penyelewengan yang terbabit dianggarkan berjumlah RM1.12 juta membabitkan wang milik parti politik yang beliau adalah ketua pemuda.
“Ahli Parlimen itu dijangka akan turut dituduh mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dalam masa terdekat,” katanya.
Sumber berkata, siasatan ke atas Ahli Parlimen ini dijalankan sejak Jun 2020 selepas menerima aduan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.
Beliau sebelum ini mendakwa wang yang hilang di rumahnya di Petaling Jaya adalah wang peribadi milik beliau dan ibu bapanya.
Pada perkembangan yang sama, Malaysiakini mengesahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didakwa esok di mahkamah kerana menyalahgunakan dana parti politik.
Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Haijan Omar kepada Malaysiakini, yang akan mewakili Syed Saddiq bersama Gobind Sing Deo.
Sekiranya didakwa esok, beliau akan menyertai beberapa ahli politik lain dalam satu kelompok yang diberi jolokan ‘kluster mahkamah’. -Buletin TTKM-