Polis hentikan protes Hartal Doktor Kontrak di HKL

Kuala Lumpur, 26 Julai: Polis menghentikan protes Hartal Doktor Kontrak yang diadakan di aras bumbung tempat letak kereta Hospital Besar Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Penyuraian dilakukan oleh ASP Jazlan dari IPD Dang Wangi, ketika sesi soal jawab antara seorang peserta protes bernama Dr Muhammad bersama wartawan sedang dijalankan.

“Semua orang diminta bersurai dan beri kerjasama” – ASP Jazlan.

Terdahulu, Dr Muhammad berkata mereka tidak berniat melakukan sebarang demonstrasi atau penentangan, sebaliknya hanya untuk memohon agar kerajaan memberi hak sama rata dengan para pegawai berstatus tetap seperti hak untuk melanjutkan pelajaran.

“Kami ingin hak-hak seperti diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, diserap sebagai status pegawai kerajaan” katanya.

Tambah beliau lagi, hampir 150 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan tahun ini kerana mulai penat dengan sistem sedia ada.

“Kami ingin memohon kepada pihak kerajaan untuk bersama-sama membantu kami dalam menghadapi pandemik sekarang dan mendengar suara kami supaya pihak kami pegawai perkhidmatan dapat bertugas secara tetap dan dapat berikan yang terbaik untuk selesaikan pandemik yang melanda negara. “

Mengenai respon dari perdana menteri, beliau berkata permintaan mereka masih belum terlaksana malah tiada perincian dari pihak kementerian, oleh itu mereka tetap dengan keputusan untuk meneruskan hartal pada hari ini selepas sebulan memberikan tempoh kepada kerajaan.

Pada perkembangan yang sama, polis dilaporkan akan menyiasat protes doktor kontrak yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur tersebut, lapor Malaysiakini

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata tiada siapa dibenarkan berhimpun tanpa kebenaran ketua pengarah kesihatan.

Arahan itu melibatkan perhimpunan keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan dan kebudayaan, tambahnya.

Sementara itu, protes Hartal Doktor Kontrak berjalan secara aman di seluruh negara disertai ratusan doktor kontrak.

Laman facebook Hartal Doktor Kontrak pada satu hantaran mengucapkan tahniah kepada semua pegawai perubatan yang menjayakan protes tersebut.

” Anda telah melakukannya! Tahniah semua. Sesungguhnya anda semua adalah perwira pada hari ini.” – Hartal Doktor Kontrak.

Mengenai sebarang tindakan undang-undang yang mungkin akan dihadapi, laman tersebut berpegang kepada hak setiap rakyat Malaysia untuk mengetengahkan pendapat dan bersuara menurut artikel 10 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Segala tafsiran tentang undang-undang berkaitan hanya layak ditentukan oleh hakim di dalam mahkamah.” – Hartal Doktor Kontrak.

– Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: