Kuala Lumpur, 29 September: Selepas Anwar Ibrahim menuntut Tan Si Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan berikutan kenyataan Agong melalui Istana Negara yang amat dukacita berhubung tindakan membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan baginda, , tindakan yang sama dibuat oleh Zahid Hamidi.
Menerusi satu kenyataan media, Zahid berkata UMNO amat kesal dengan tindakan Kerajaan pimpinan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang mengingkari titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.
“Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”
Tambah Zahid, tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, katanya, UMNO akan meminta Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin dan Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.
“Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri.
“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan; memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.”
Sementara itu, sidang sesi petang ditangguhkan kali ketiga sehingga jam 5.15 PM. Ini berikutan dua kes positif covid yang dikesan di premis parlimen.
Memberitahu perkara itu di dewan rakyat, timbalan speaker, Rashid berkata maklumat itu dimaklumkan kepada parlimen melalui surat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Sehubungan itu, dipohon saringan gejala dan ujian pengesanan dijlankan ke atas semua yang hadir dan berada di parlimen termasuk semua ahli parlimen, pegawai, dan pekerja-pekerja.
“Tiada siapa dibenarkan keluar dari kompleks parlimen sehingga keputusan diperolehi,” katanya.
Kata Mohd Rashid ujian saringan akan dijalankan di lokasi ditetapkan dan keutamaan diberikan kepada ahli parlimen. – Buletin TTKM-