Muhyiddin menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini sebentar tadi.

Kenderaan membawa beliau yang diiringi polis pengiring, dilihat memasuki pintu satu Istana Negara sekitar jam 10.53 pagi, lapor Berita Harian.

Selesai menghadap baginda, Muhyiddin dijadual ke pejabatnya di Putrajaya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Terdahulu, kenderaan membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi beberapa kereta dan motosikal polis keluar dari kawasan kediamannya di Bukit Damansara, di sini, pada jam 10.48 pagi ini.

Muhyiddin yang bersongkok sempat menurunkan cermin tingkap kenderaan sebelum melambai kepada kumpulan pengamal media yang menunggu di persimpangan kawasan kediaman berkenaan.

Terdahulu, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara pada 9.30 pagi tadi.

Pada perkembangan yang sama, kenderaan yang membawa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilihat memasuki bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 9.20 pagi.

Manakala kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilihat memasuki bangunan sama pada jam 10.20 pagi.

Semalam, presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan UMNO telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan perdana menteri, Tan Sri Mahiaddin Yasin. Katanya, akuan bersumpah oleh ahli parlimen UMNO sudah dipersembahkan kepada YDP Agong di mana menurutnya jumlah tersebut mencukupi bagi Mahiaddin kehilangan majoriti.

Bersama dengan Zahid ketika sidang media petang semalam, adalah 10 ahli parlimen UMNO termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tengku Razaleigh Hamzah. Tambah Zahid lagi, akuan bersumpah baki ahli parlimen UMNO akan diberikan kemudian.

Setakat ini, dilaporkan 14 ahli parlimen UMNO telah menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin Yassin- Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.