UMNO tolak tawaran, PM tiada keabsahan kerana akui hilang majoriti

KENYATAAN MEDIA

  1. UMNO mengucapkan penghargaan atas pengakuan YB Pagoh yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
  2. Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
  3. Selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, YB Pagoh tidak wajar merampas kuasa KDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.
  4. UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.
  5. UMNO menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga KDYMM Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.
  6. UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen UMNO yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
13 Ogos 2021

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.