Pendekatan rentas parti utamakan rakyat dan stabilkan negara- Armada

KENYATAAN MEDIA – PENDEKATAN RENTAS PARTI UTAMAKAN RAKYAT, STABILKAN NEGARA, UNTUNGKAN SEMUA

  1. Situasi semasa yang begitu getir sehingga mengancam kesihatan dan nyawa orang ramai hanya akan bertambah membarah jika sebuah pertikaian politik baharu sekali lagi menjerumuskan negara ke dalam krisis perlembagaan yang tidak berkesudahan. Dengan tiadanya hala tuju yang jelas daripada aktor-aktor politik lain, ARMADA Bersatu Malaysia amatlah mengalu-alukan tawaran berjiwa besar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua parti politik dan wakil rakyat yang baru sahaja diumumkan.
  2. Tawaran ini secara tuntasnya amat komprehensif, inklusif, adil dan saksama kepada semua pihak, menepati keperluan semasa negara, menyelesaikan masalah struktural negara yang memerlukan penambahbaikan segera, serta meletakkan rakyat sebagai satu-satunya keutamaan. Jika menjadi kenyataan, tiada lagi gelaran ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang. Semua ahli-ahli Yang Berhormat akan menjadi ‘WAKIL RAKYAT’ dalam erti kata sebenar istilah itu tanpa mengira pegangan ideologi atau keahlian parti.
  3. Selari dengan pendekatan ‘whole of nation’ yang menunjangi tawaran ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengukuhan peranan Parlimen yang dicadangkan juga akan memperkasa institusi demokrasi, menjadikan mekanisme semak dan imbang lebih ampuh, serta menjamin agar korupsi dan kleptokrasi tidak lagi menjadi ancaman di masa hadapan. Pelaksanaan ‘Undi 18’ yang membolehkan lebih ramai anak muda mengambil bahagian dalam tatanegara.
  4. Oleh itu, ARMADA Bersatu Malaysia menyeru semua pihak terutamanya ahli-ahli Dewan Rakyat agar meletakkan tugas patriotik mereka di tempat yang berhak, serta sama-sama menyambut tawaran ini demi kesejahteraan negara dan masa depan yang lebih terjamin untuk semua.

WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
13 Ogos 2021

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.