Pengasas Rumah Bonda akan didakwa esok

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pengasas Rumah Bonda akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, esok atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Utusan Malaysia memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan sebagai berkata, pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ya, pengasas rumah bonda akan didakwa esok, maklumat pertuduhan tunggu esok” – Datuk Seri Abd Jalil Hassan

Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Sebelum ini, seorang wanita yang juga pengasas Rumah Bonda ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pender@an seorang remaja orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan beliau.

Polis memohon supaya wanita itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu, bagaimanapun Mahkamah Majistret menolak permohonan itu berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari wanita itu ditahan.

Sebelum itu, tular di laman sosial mengenai remaja yang mengalami sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali dengan nama Bella dipercayai dider@ di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Video menunjukkan beberapa kesan luka dan lecur pada beberapa bahagian tangan dan badan remaja tersebut disebar meluas di media sosial dan whatsapp.

Kisah menyayat hati ini menyebabkan netizen menggerakkan kempen supaya mereka yang bertanggung jawab terhadap Bella dihadapkan ke mahkamah dengan menularkan tanda pagar #JusticeForBella.

Rumah kebajikan itu disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Pelindung Unit Kanak-Kanak JKM turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan itu.

Pada 4 Ogos lalu, pengasas rumah kebajikan berkenaan bersama empat lagi ibu kandung anak angkatnya memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Permohonan itu difailkan itu melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, pada 2 Ogos lalu menerusi Tetuan Chambers of Aminahtul Mardiah dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Pengasas Rumah Bonda itu sebelum ini menafikan sebarang penderaan berlaku terhadap remaja sindrom down tersebut. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.