Putrajaya 12 September : Mantan mufti perlis, Datuk Dr Juanda Jaya berkata tiada istilah VIP dalam agama Islam di rumah Allah dan menyifatkan perkara itu amat tidak wajar dilakukan oleh mana-mana masjid.
“Sewajarnya dipraktikkan ‘first come, first serve’. Ketika masjid dibuka, berikan kad kuota pada setiap jemaah, apabila kad kuota tersebut habis, barulah pintu masjid ditutup.” kata beliau.
Katanya lagi, mana-mana jemaah yang mahu solat di luar masjid, perkara itu haruslah dibenarkan.
“Nasihatkan mereka supaya mematuhi SOP penjarakan sosial. Amat tidak islamik sekiranya menghalau orang daripada solat walaupun di luar pintu masjid. Masjid itu rumah Allah, milik semua umat Islam. Perkara ini jelas dilarang Quran dan hadis Nabi. ” katanya lagi.
Tambahnya, masjid yang bersaiz besar seharusnya mewajarkan sekurang-kurangnya kapasiti sebanyak 50% atau 75% di beranda masjid dengan syarat membawa sejadah sendiri.
“Kalau ikutkan KKM, ia amat selamat dari solat di ruang utama. ini kerana di luar sistem pengudaraannya cukup baik sebab ianya terbuka”,
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Buletin TTKM sebentar tadi sebagai mengulas kenyataan imam besar masjid Putrajaya yang mengesahkan kuota 10% diperuntukkan kepada VIP untuk solat jumaat.
Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia Ahmad Marzuk Shaary meminta pengurusan masjid di Malaysia agar tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu sebaliknya melayan sama rata jemaah yang hadir untuk menunaikan solat di masjid.
Katanya, layanan ‘kayangan’ itu tidak seharusnya berlaku dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi seperti dalam video yang tular di laman sosial pada Jumaat (10 Sep).
“Pihak yang berhormat menteri agama sendiri telah pun meminta dan memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan insya-Allah dalam tempoh sehari dua lagi perkara ini kita akan selesaikan.
“Saya sendiri pun sebenarnya apabila ke masjid saya beratur, paling penting yang mahu ke masjid perlu pergi awal dan ambil tempat sesuai,” katanya.
Encik Ahmad Marzuk berkata selain memastikan SOP dipatuhi, pihaknya turut mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memperbaharu prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kehadiran jemaah di masjid.
“SOP jemaah di masjid sekarang masih lagi terhad iaitu dengan hanya jumlah minimum. Kerajaan memandang serius perkara ini dan kita akan sentiasa memperbaharu SOP mengikut kesesuaian.
“Kadar jangkitan wabak COVID-19 juga menjadi antara pertimbangan untuk kita perbaharui SOP bagi membenarkan lebih ramai jemaah dapat hadir ke masjid, namun paling penting sekarang kadar imuniti kelompok di negara ini perlu dicapai terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 57 saat mendakwa ‘layanan dua darjat’ apabila mendakwa golongan tertentu diberi keutamaan untuk menunaikan solat Jumaat berbanding jemaah yang datang awal untuk beratur.
Dalam video itu, sebahagian jemaah dilihat beratur sambil membawa sejadah dan apabila VIP datang dengan menaiki kenderaan besar, pintu pagar utama dibuka untuk mereka. -Buletin TTKM-
1 Comment