Kerajaan dan PH meterai MOU “Transformasi dan Kestabilan Politik”

Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan hari ini melakar sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri, Dato Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap ini menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.

“Semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian demi mencapai matlamat ‘Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan’.Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia” katanya.

Tambahnya lagi, Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi 6 bahagian iaitu

I. Pemerkasaan Pelan COVID-19;

II. Transformasi Pentadbiran;

III. Pembaharuan Parlimen;

IV. Kebebasan Institusi Kehakiman;

V. Perjanjian Malaysia MA63; dan

VI. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

“Kerajaan yakin, ia bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.”

Upacara menandatangani memorandum itu diwakili Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada majlis menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan persekutuan.

Pakatan Harapan pula diwakili oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau dan Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.

Hadir sama adalah Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara Rais Yatim.

Ismail Sabri tidak memberikan butiran lanjut bidang yang diliputi tetapi bidang berkenaan dilihat lebih luas daripada apa yang awalnya ditawarkan kepada pembangkang.

Menurut ciapan oleh ahli parlimen PKR Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Speaker Dewan Rakyat memaklumkan yang dokumen penuh MOU antara Kerajaan dan @pakatanharapan_ akan dimuatnaik dalam laman web @MYParlimen pada hari esok. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.