Kerana sebut timb speaker ‘memalukan’, Rayer digantung dua hari.

Dewan Rakyat, 14 September: Sesi perbahasan Dewan rakyat kembali kecoh tengah hari tadi berikutan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon menggantung RSN Rayer (Jelutong-DAP) hadir ke sidang Dewan Rakyat selama dua hari.

Tindakan itu diambil selepas ahli parlimen Jelutong itu mendesak Rashid menjelaskan tindakan menolak usul menggantikan Speaker Dewan Rakyat.

“Timbalan speaker, jangan salah guna kuasa. People are watching you. Memalukan,” kata Rayer.

Rashid bagaimanapun meminta Rayer menarik balik ayatnya itu sebanyak tiga kali tetapi tidak dihiraukan Rayer.

“Saya minta Jelutong tarik balik ayat ‘memalukan’ tu. Tarik balik! Tarik balik Jelutong!,” arah Rashid.

“Saya tidak tarik balik. itu adalah kelakuan yang memalukan… Tindakan timbalan speaker bukan sahaja memalukan di dalam dewan, memalukan di luar dewan juga ” tambah Rayer.

Rashid kemudian mengarahkan Jelutong keluar dewan dan digantung selama 2 hari.

“Tiga kali (arahan tarik balik). Saya minta bentara jalankan tugas keluarkan Jelutong sekarang. Dua hari!” kata Rashid.

Pada ketika ini dewan bingit dengan suara ahli parlimen pembangkang yang bangun berdiri memprotes tindakan Rashid itu malah ada yang mendesak beliau supaya meletakkan jawatan.

“Tidak boleh menghalau ahli parlimen keluar” kata ahli parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.

“Saya minta ahli yang berhormat duduk! Saya minta teruskan (perbahasan)” kata Rashid.

Setelah itu beberapa ahli parlimen pembangkang antaranya Tony Pua, Gobind Singh, Lim Guan Eng dan Mat Sabu menepuk-nepuk meja sambil menyebut perkataan “memalukan” berulang kali sambil diperhatikan sahaja oleh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Rashid kemudian menangguhkan dewan pada jam 1 tengah hari. -Buletin TTKM-

https://www.youtube.com/watch?v=0oIkpr_04jw&t=13s

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.