SOP baru: Kapasiti solat Jumaat di masjid Putra kini 500 orang.

Putrajaya, 16 September : Masjid Putra di Putrajaya hari ini mengumumkan kuota untuk jemaah solat Jumaat meningkat seramai 200 orang kepada 500 orang berkuatkuasa 16 September.

Perkara ini dinyatakan dalam satu poster di laman facebook masjid berkenaan yang dinaikkan hari ini.

Pintu utama akan mulai dibuka pada jam 11.45 pagi.

Sebelum ini kuota untuk solat Jumaat adalah seramai 300 orang dengan 10% dari jumlah itu diperuntukkan kepada VIP.

Manakala untuk solat fardhu pula kuotanya adalah seramai 200 orang.

Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah

1. Wajib memakai pelitup muka.

2. Sanitasi tangan ketika hadir dan pulang.

3. Vaksin lengkap.

4. Bawa sejadah bersaiz besar (standard)

5. Penjarakan sosial 1.5 meter.

6. Kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dibenarkan masuk.

7. Check in Mysejahtera.

Sementara itu, kuota 10% untuk VIP tidak dinyatakan dalam poster tersebut.

Pada minggu lepas, Imam Besar Masjid Putra mengesahkan terdapat kuota seramai 30 orang, iaitu 10% dari 300 jemaah yang dibenarkan solat Jumaat.

Beliau dalam satu video di Facebooknya Jumaat lepas berdoa supaya pihak yang memviralkan video kononnya terdapat layanan istimewa terhadap golongan VIP diberikan hidayah Allah.

Beliau turut meminta pihak tersebut bertemu dengan beliau untuk meminta maaf kerana perbuatan itu tidak diredainya.

Walau bagaimanapun, imam tersebut kemudian memohon maaf secara terbuka apabila video beliau itu tular dan mendapat kritikan pelbagai pihak.

Berikutan itu beliau berkata pihaknya akan memperbaiki keadaan terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.

“Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat diatas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

“Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf diatas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya

-Buletin TTKM –



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version