U-turn: Pelancong ke Langkawi perlu buat ujian covid-19

Putrajaya, 16 September: Kerajaan melakukan pusingan-U dalam polisi gelembung melancong ke Langkawi apabila menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam berkata semua pelancong yang berhasrat bercuti di pulau peranginan Langkawi bermula 16 September diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19.

Tambahnya, ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.

Khairy memaklumkan, terdapat tiga cara boleh digunakan pelancong sebelum memasuki pulau tersebut:

1. Menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas; atau

2. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID19 di tempat saringan yang disediakan; atau

3. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

“Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat yang sedia ada,” katanya.

Pada selasa, 13 September, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata pengunjung yang mahu ke Langkawi tidak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.