Kuala Lumpur, 20 September: Polis diraja Malaysia hari ini mengesahkan bahawa Muhammad Sajjad Bin Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat telah ditangkap pada 8 September 2021 pada jam lebih kurang 6 petang oleh pihak imigresen Thailand di atas kesalahan memiliki pasport yang tidak sah.
“Pada 9 September 2021, suspek telah dihadapkan ke mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda.” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Sri Abd Jalil Bin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.
Tambahnya lagi, suspek turut dikehendaki di Malaysia bersabit seksyen 9 repot: 345/2021 di bawah seksyen 186 kanun kes3ksaan kerana menghalang penjawat awam dan seksyen 353 kanun kes3ksaan kerana menggunakan kek3rasan j3nayah bagi men@kutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.
“Usaha untuk membawa pulang suspek sedang giat dilaksanakan” katanya lagi.

Pada perkembangan yang sama, KTMB Berhad dalam satu kenyataan berkata tidak bertanggungjawab diatas kandungan kontena berikutan terdapat laporan yang mendakwa Sajat meloloskan diri melalui tren kargo keretapi.
Menurut kenyataan KTMB itu, kontena-kontena kargo yang dibawa ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang telah disewa oleh pelanggan-pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.
Oleh itu, KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena tersebut sama ada kosong atau bermuatan.
Tambah kenyataan itu lagi, fasiliti dan terminal kargo KTMB di Padang Besar adalah kawasan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan dan Kastam.
Manakala setiap tren yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara di sempadan dan melibatkan pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan.
“Walaubagaimanapun, KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara yang dilaporkan” katanya.

Terdahulu, keberadaan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Menurut laporan Harian Metro, penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa negara gajah putih itu selepas mendapat maklumat mengenai lokasi usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.
Sumber memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.
Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.
“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” katanya memaklumkan Nur Sajat ditahan bersama dengan seorang lelaki tempatan (Thailand) yang juga berperwatakan sepertinya di kondominium mewah itu.
Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.
“Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.
Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.
“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.
Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.
“Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.
“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.
Sajat didakwa tunggu kebenaran nak pindah Australia
Usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia.
Nur Sajat yang kini dalam pemantauan pihak berkuasa Thailand selepas penahanannya pada 8 September lalu atas kesalahan imigresen dilaporkan sedang berusaha mendapatkan perlindungan daripada negara berkenaan.
Sumber memberitahu bahawa ketika ditahan pihak berkuasa imigresen Thailand pada 8 September lalu, Nur Sajat hanya menunjukkan salinan pasportnya kepada pegawai penyiasat melalui telefon bimbitnya.
“Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Nur Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.
“Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.
“Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok,” katanya.
Sumber sama memaklumkan, ibu pejabat UNHCR di Bangkok juga sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.
“Beberapa urusan berkaitan perpindahan Nur Sajat juga sedang diusahakan UNHCR dengan wakil kedutaan Australia di Bangkok,” katanya.
Ditanya apa alasan sebenar Nur Sajat untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia, sumber berkata, usahawan kosmetik itu mendakwa dia mendapat ug0tan bunoh selepas mengumumkan keluar daripada Islam selain diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). -Buletin TTKM-