“RM13 juta dipindah ke akaun bank di Kanada semasa Mukhriz jadi MB”- Sanusi

Alor Setar, 22 September: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa sebanyak RM13 juta wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah telah dipindahkan ke akaun bank di luar negara semasa pentadbiran Mukhriz Mahathir.

Menurut akhbar Sinar Harian, Sanusi mendakwa dia mempunyai bukti bahawa RM13 juta wang milik negeri itu telah dipindahkan ke akaun bank di Kanada.

Sanusi membuat pendedahan berkenaan pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, semalam.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz menyebut mengenai ungkit hal lama. Rasanya saya tak ungkit hal lama. Bila beliau bangkitkan satu perkara, baru saya jawab.

“Ada hal lama berkaitan pemindahan wang MBI sebanyak RM13 juta ke satu akaun di Kanada.

“Saya tak pernah sebut kepada sesiapa. Hari ini baru saya sebut,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Menurut laporan itu, Sanusi bagaimanapun tidak mendedahkan pemilik akaun tersebut serta tujuan transaksi wang berkenaan dipindahkan ke luar negara. Dia juga tidak menjelaskan sama ada laporan polis telah dibuat ataupun tidak.

Ditubuhkan pada tahun 1988, MBI dimiliki oleh kerajaan negeri dan dikendalikan oleh menteri besar semasa.

Menurut laman webnya, syarikat itu mempunyai kepentingan dalam sektor perlombongan, pembangunan harta tanah, telekomunikasi dan tenaga.

Mukhriz, pernah menjadi MB Kedah sebanyak dua kali – pertama dari Mei 2013 hingga Februari 2016 dan kali kedua dari Mei 2018 hingga Mei 2020.

Sementara itu, Utusan Malaysia dalam laporan sama pula menyebut Sanusi turut menyindir dengan berkata Mukhriz yang didakwa kelilingi ‘punah sihat’ dan bukannya penasihat seperti dinyatakan.

Dia bagaimanapun tidak menamakan penasihat yang disebutkan.

“Bila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat exco untuk bayar satu perbelanjaan yang dibuat penasihat Menteri Besar pada masa itu untuk bekalkan kuih raya. Kuih raya itu saya dapati harga begnya lebih mahal dari kuih hingga menyebabkan kita terpaksa bayar hingga RM1.3 juta.

“Saya katakan sebenarnya beliau bukan dikelilingi penasihat tetapi dikelilingi ‘punah sihat’.

“Sebab itu kena bayar harga RM1.3 juta dengan harga beg lagi mahal daripada kuih,” katanya.

Dalam nada sinis, beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak untuk tidak membaling batu ke rumah orang sekiranya rumah sendiri dibina daripada kaca.

Pada perkembangan yang sama, Mukhriz yang juga presiden Pejuang berkata dakwaan oleh Sanusi adalah satu tuduhan serius dan mencabar Sanusi supaya membuat kenyataan rasmi.

“Kita harap boleh dapat kenyataan rasmi kerana beliau tidak sepatutnya melontarkan dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘langgar dan lari’.

“Dakwaan itu perlu dibuktikan dengan saya pun tak tahu apa ceritanya. Saya menantikan kenyataan rasmi mengenai tuduhan dibangkitkan itu,” katanya.

Adun Jitra itu juga mendakwa ini kali pertama dia mendengar pertuduhan berkenaan apabila wartawan membangkitkan soalan berkaitan perkara tersebut.

Pada sidang media secara maya hari ini apabila ditanya wartawan adakah hal tersebut akan dilaporkan kepada pihak polis atau SPRM, Sanusi berkata perkara itu sudah tentu sudah diketahui pihak terbabit kerana ia dibangkitkan di sidang DUN semalam.

“Terpulang kepada pihak berkuasa kalau ada kehendak dari mereka mahu buat siasatan. Saya terbuka. ” katanya.

Ditanya kenapa sekarang didedahkan perkara ini setelah sekian lama, Sanusi berkata beliau baru sahaja mendapat dokumen berhubung perkara tersebut. -Buletin TTKM-

-Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: