LANGKAWI, 26 September – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melihat kepada keperluan tindakan pertukaran ke negeri lain terhadap guru yang enggan menerima vaksinasi di seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, beberapa ketetapan telah ditetapkan kepada guru yang enggan divaksin seperti tidak dibenarkan mengajar bersemuka dan ada tugasan lain, lapor Sinar Harian.
“Bagaimanapun, apabila melihat data ini kita dapati ada sekolah tertentu yang ada guru enggan divaksin mengajar subjek sama dan ada juga satu-satunya guru mata pelajaran berkaitan juga enggan menerima vaksinasi.
“Jadi, sekiranya perkara ini menjejaskan sekolah dan demi kepentingan perkhidmatan dan pelajar, kita sedang melihat bagaimana untuk membawa keluar guru terbabit dan antara jalan penyelesaian adalah dengan pertukaran tempat mengajar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Kolej Vokasional Langkawi, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, pertukaran tempat mengajar termasuklah melibatkan perpindahan antara negeri berkemungkinan terpaksa diambil bagi menyelesaikan masalah ini dalam memastikan ia tidak menjejaskan sesi pembelajaran.
“Berkaitan tindakan lanjut, kita sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tentang bentuk tindakan bersesuaian yang akan diambil terhadap atas guru-guru ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, bilangan guru yang enggan divaksin di seluruh negara menunjukkan penurunan selepas menerima nasihat dan kaunseling.
“Daripada 2,500 yang enggan menerima vaksinasi, bilangannya kini menurun kepada lebih kurang 2,000 guru sahaja,” jelasnya. – Buletin TTKM-