Mahkamah bebaskan Ahmad Maslan lepas bayar kompaun RM1.1 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut laporan Bernama,  Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan.

Ini selepas ahli parlimen Pontian bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

“Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, TPR mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama pada masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan bayaran kompaun tersebut.

“Berpandukan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dan nas undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya terhadap Ambika M A Shanmugam, mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama dan kedua.

“Semua tarikh bicara yang telah dijadualkan dilapangkan,” kata Hakim Ahmad Shahrir.

Pada 21 Jan 2020, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad juga didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM, Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di Kuala Lumpur antara 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Ahmad Maslan mendakwa beliau menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

Malah, katanya, kes berkenaan menyebabkan beliau bukan individu pilihan untuk menyertai barisan Kabinet ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kenapa tiba-tiba saya nak perkenalkan semula (akta), atas nama saya sendiri, adalah kerana, saya Ahli Parlimen yang menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

“Ada dua kes sahaja tentang saya, iaitu dituduh menerima sejumlah wang tetapi konon saya tak bayar cukai, maka saya tak masuk dalam senarai (kabinet) Muhyiddin.

“Dan dalam senarai (kabinet) Ismail Sabri juga saya tidak masuk sebab ada sedikit masalah itu,” katanya dalam Forum Akta Pendanaan Politik yang disiarkan di Facebook Sinar Live pada awal september.

Ujarnya, penelitian lanjut mengenai akta berkenaan perlu dilakukan bagi memberikan kefahaman tertentu termasuk mengenai maksud dana awam dan dana swasta, atau dana dalam bentuk barangan yang diterima seseorang.

Katanya lagi, Kerajaan Barisan Nasional pada 2009 telah berusaha membentangkan rang undang-undang mengenai pendanaan politik.Namun, ia terhenti pada peringkat draf akta pada 2016 dan tidak dapat dibentangkan pada ketika itu. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.