Najib dedah 3 surat, dakwa naik taraf Seri Perdana dibuat Muhyiddin sebab mahu pindah sana

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan tiga surat bagi menjawab dakwaan Muhyiddin mengenai kos baik pulih Seri Perdana mencecah RM38.5 juta adalah antaranya kerana perolehan perabot disebabkan Najib memindahkan perabot dari premis itu yang didakwa milik peribadinya.

“La… tak sanggup percaya bahawa saya dijadikan alasan PM8 untuk meluluskan projek ubahsuai dan NAIK TARAF kediaman Seri Perdana. Ceritanya begini.” kata Najib menerangkan isu tersebut.

Menurutnya, selepas kalah PRU 14, beliau dan keluarga diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana kerana PM7 ( Tun Dr Mahathir) percaya bahawa terdapat banyak rahsia tersimpan di kediaman itu.

“Pada bulan Ogos 2018 (lampiran), saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana.

“Tapi surat saya tidak dibalas . Pada bulan Ogos 2019 (seperti lampiran), saya sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama.” katanya.

Surat Najib kepada Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa bertarikh 16 Ogos 2018. Kredit FB Najib Razak.
Surat Najib kepada Dato Haji Hasnol Zam Zam, Timabalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri bertarikh 15 Ogos 2019. Kredit FB Najib Razak.

Walaubagaimanapun, permintaan beliau itu dibalas 14 bulan kemudian iaitu pada 21 Oktober 2021 di mana Jabatan Perdana Menteri bersetuju dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh Najib dan bukan aset kerajaan sahaja dibenarkan untuk dipindahkan.

“Senarai tersebut diperiksa dan diluluskan JPM. Sehubung dengan itu, JPM pun menulis satu lagi surat pada 18 Nov 2020 (tengok lampiran) kepada saya untuk suruh saya angkat balik barang-barang peribadi saya SEPERTI DALAM SENARAI MUKTAMAD. Diberi tempoh masa 2 minggu kepada pihak saya untuk selesaikan pemindahan sebelum 3 Disember 2020. Projek naik taraf difahamkan telah diluluskan bulan Januari 2021 dan kerja fizikal naik taraf bermula bulan Mac 2021” tambahnya.

Surat dari JPM bertarikh 18 November 2020 yang meluluskan pemindahan keluar aset peribadi Najib di kompleks Seri Perdana dalam masa dua minggu.

Kata Najib, kakitangannya ketika itu berasa pelik dengan kandungan surat tersebut yang meminta supaya barangan diambil dengan begitu pantas.

Mereka nak luaskan bahagian dapur sebab ruang asal menurut mereka kecil – Najib

“Rupa-rupanya seorang pengurus baharu Seri Perdana telah dilantik (yang kami diberitahu merupakan saudara PM8) dan mereka memberitahu kita bahawa PM8 ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab dia mahu pindah ke sana.Antara cadangan mereka ialah untuk memperluaskan bahagian dapur sebab mereka kata ruang dapur sedia ada terlalu kecil. Itulah cerita sebenarnya.” tulis Najib.

Habis tu, nak belanja RM38.5 juta untuk apa? Untuk dibiarkan kosong tanpa sesiapa mahu duduk di sana?

Tambah Najib lagi, hanya mereka yang tertipu dengan manifesto bukan kitab PH sahaja yang akan percaya bahawa beliau mengambil balik barang peribadi, perabot dibeli sendiri yang sudah lama serta hadiah diberi kepadanya yang memaksa kerajaan PM8 untuk luluskan ubah suai serta naik taraf kediaman Seri Perdana dengan jumlah RM38.5 juta oleh seorang yang kononnya tiada niat untuk tinggal di sana.

Beliau juga mengingatkan Muhyiddin supaya jangan menggunakan beliau sebagai alasan sekiranya niat untuk berbelanja RM 38.5 juta adalah untuk kediaman sendiri pada ketika dirinya sendiri memberitahu rakyat bahawa kerajaan tak ada banyak wang lagi untuk membantu rakyat.

Nak perabot lama tu? Saya setuju beri percuma – Najib

Dalam perkembangan yang sama, Najib berkata perabot-perabot lama beliau itu masih ada disimpan di gudang kerana beliau berpuas hati dengan perabot sedia ada rumahnya dan bersetuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan.

“(Perabot lama itu) tak digunakan langsung. Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan.Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang gudang untuk pilih.” katanya.

Beliau berkata demikian di laman facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataan siang tadi menerangkan isu berhubung kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.

Kata Muhyiddin, pada bulan Mac 2020, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal yang agak teruk di Seri Perdana.

Beliau turut berkata JPM mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar.

Perdana Menteri keenam ketika itu adalah Datuk Seri Najib Razak – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.