RM38 juta : Baik pulih kediaman PM lulus zaman Muhyiddin

Kuala Lumpur 30 September: Kerajaan mengesahkan kerja-kerja baik pulih kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana bernilai RM38.5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad yang mengesahkan perkara tersebut berkata kompleks yang mencecah usia 22 tahun itu telah mengalami banyak kerosakan.

“Justeru, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

“Projek ini telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat hari ini, kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan berbanding 71 peratus seperti dalam jadual.

Beliau berkata demikian susulan jawapan bertulis kepada pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat oleh Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana.

Menjelaskan berkenaan teks tersebut, Abd Latiff berkata soalan itu telah dijawab secara bertulis oleh beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh Perdana Menteri.

Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan perdana menteri pada ketika kelulusan itu dibuat.

Sebulan selepas kelulusan itu dibuat, beliau berkata kerajaan sudah tiada banyak wang.

“Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan.

“Saya pergi sekolah tapi saya tak pandai kira how much is that, saya fikir banyak orang Sikh faham, it is more than RM600 billion, that’s big sum of money

“Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini, kita tak banyak wang lagi yang tinggal.”

“Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat menguruskan diri dengan lebih baik,” kata Muhyiddin kepada masyarakat Sikh sempena sambutan perayaan Vaisakhi di Petaling Jaya pada 12 April 2021.

-Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.