RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina diluluskan k’jaan – Dong Zong

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon, menurut laporan Malaysiakini.

“Pada 23 September, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta akan disediakan untuk 63 sekolah persendirian Cina,” kata Tan Tai Kim .

Beliau menjangkakan peruntukan itu tepat pada masanya kerana sekolah-sekolah persendirian mengalami ketidakstabilan keadaan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA Wee Ka Siong dan Mah, yang juga timbalan presiden MCA, atas bantuan mereka dalam memperjuangkan peruntukan tersebut.

Untuk rekod, Wee Ka Siong merupakan menteri pengangkutan di bawah pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Tan, Wee menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon dana khas untuk sekolah persendirian Cina pada 29 Januari 2021.

“Pada 19 April, Kementerian Kewangan membalas surat tersebut untuk memberitahu bahawa dana khas itu telah diluluskan.

“Pada 15 September, Wee dan Mah mengadakan pertemuan dengan Dong Zong untuk memberitahu kami bahawa dana tersebut akan disalurkan kepada sekolah-sekolah tersebut secepat mungkin,” kata Tan.

Sementara itu, laporan tersebut turut memetik Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming yang berkata DAP dan Pakatan Harapan yang memperjuangkan peruntukan untuk sekolah-sekolah persendirian Cina.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Nga berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan PH telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melibatkan kerajaan agar peruntukan itu dapat disalurkan.

“Setelah pelbagai usaha, Kementerian Kewangan akhirnya bersetuju untuk meluluskan peruntukan tersebut. Peruntukan RM15 juta itu akan disalurkan dengan segera,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Dia menambah PH akan terus meyakinkan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan lain untuk sekolah rendah dan menengah Cina dan peruntukan RM6 juta untuk kolej swasta dalam Belanjawan 2022 yang akan datang.

Tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional telah menghentikan dana untuk sekolah persendirian Cina dan tiga kolej swasta, iaitu Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College of Communication.

Pada 2019, kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan memperuntukkan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2019 dan jumlahnya meningkat kepada RM15 juta pada tahun 2020. Ketiga-tiga kolej universiti swasta itu juga masing-masing menerima RM2 juta untuk dua tahun berturut-turut. 

Walaubagaimanapun, peruntukan kepada UTAR dan TAR UC dikurangkan Lim Guan Eng kerana berkata institusi tersebut dimiliki oleh MCA. -Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.