Tokong mohon maaf pada polis dan orang ramai , tarik balik tuntutan terhadap tanah.

Kuala Lumpur, 2 Oktober : Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur meminta maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai susulan rusuhan di hadapan tokong tersebut pada Selasa lalu.

Menurut pihak tokong berkenaan, mereka akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan, lapor Malaysiakini.

“Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu.

“Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,” kata tokong itu dalam satu kenyataan hari ini.


Kekecohan pada hari Khamis lalu dipercayai berpunca daripada pertikaian tanah, melibatkan sebahagian dari kompleks tokong yang dikatakan menduduki tanah kerajaan yang telah diperuntukkan untuk sekolah menengah yang sedang dalam pembinaan.

Polis mendakwa bahawa ketika pegawai PTG Kuala Lumpur datang untuk membuat pagar penghadang di sebelah tokong pada Selasa pagi, sekumpulan 20 hingga 30 orang menyerang anggota polis yang bertugas dan merosakkan jentolak yang berada di kawasan itu.

Mereka menyerang pihak polis dengan bersenjatakan kayu dan besi. Manakala ada seorang dari mereka melompat ke bahagian belakang badan seorang pegawai polis di situ. Dari video yang tular, seorang wanita dilihat turut menghalang pihak polis dari menghampiri pagar dengan melakukan tarian ala-ala twist.

Pihak tokong itu juga berkata bahawa ia sanggup bertanggungjawab ke atas kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Setakat ini, 24 individu telah ditangkap berhubung rusuhan tersebut. Polis berkata suspek disiasat kerana melakukan rusuhan dengan senjata.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon berkata dia menghargai usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan menjelaskan situasi itu kepadanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mah berkata pertemuan diadakan antara kementeriannya, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk menjelaskan pembinaan sekolah menengah baru di sebelah tokong tersebut.


Katanya, sekolah itu akan memberi manfaat kepada keperluan penduduk setempat kerana 7,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) akan dibina berdekatan lokasi tersebut.

Mah menambah bahawa rancangan projek tersebut bermula pada tahun 2017 dan kementerian mendapati bahawa tanah rizab sekolah itu adalah lokasi paling strategik untuk membina sekolah menengah baru.

“Kejadian yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar.

“Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,” katanya.

Terdahulu, awal pagi semalam, polis mengepung tokong berkenaan untuk menahan baki mereka yang melakukan rusuhan. 18 dari mereka telah menyerah diri selepas itu. -Buletin TTKM –

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.