Kerajaan Melaka tumbang? : 4 Adun umum hilang percaya

Melaka, 4 Okt: Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang hari ini mengumumkan bahawa beliau dan tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan negeri kerajaan.

“Saya Idris Haron, Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri Melaka dan seluruh kepimpinan kerajaan.

“Kami berempat telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat ketua menteri,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini menurut Malaysiakini.

Turut serta dalam sidang media itu, Adun Pantai Kundur, Nor Azman Hassan, Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee atau lebih dikenali sebagai YB ‘Beliau’, dan Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad.

“Kami dah hadir (sidang media) menunjukkan ketidakyakinan kepada kepimpinan kerajaan negeri hari ini.

“Kami pun letak jawatan (sebagai exco) bermakna kerajaan sudah tak ada,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 2 Mac 2020, BN mengumumkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan negeri Melaka di bawah pimpinan Adly Zahari tumbang selepas dua Adun Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) keluar daripada gabungan itu.

Selain itu, Adun PKR Muhammad Jailani Khamis (Rembia), dan Adun DAP Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) juga meninggalkan PH dan menyertai dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ini menjadikan sebanyak 17 wakil rakyat menyokong PN berbanding 11 di bawah gabungan PH.

Susulannya, pada 9 Mac 2020, Adun Umno Sulaiman Md Ali (Lendu), dilantik sebagai ketua menteri Melaka yang baru.

Buat masa ini, PH mempunyai 11 Adun di Melaka masing-masing tujuh dari DAP, dua PKR sementara dua daripada Amanah.

Dua hari lalu, ketika desas desus kerajaan melaka tumb@ng, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran bahawa Umno akan menggug0rkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu di Melaka yang didapati terbabit dalam gerakan menj@tuhkan kerajaan negeri sedia ada.

“Jika didapati ada Adun daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) yang melakukan kerja dan boleh meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik keahliannya akan tergugur.

“Itu sajalah bagi pihak parti. Saya berharap wakil-wakil rakyat, Ketua Menteri dan speaker dapat memainkan peranan.

“Nasihat saya, jika kerajaan ini sudah tak boleh lagi meneruskan pemerintahan, daripada beralih-alih kerajaan, lebih baik diadakan pilihan raya kecil (PRK) negeri supaya yang penting kita boleh beri semula mandat kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan daripada sesama kita lompat sana, lompat sini,” katanya.

-Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.