DUN Melaka dibubarkan, pilihanraya negeri dalam masa 2 bulan.

Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebentar tadi mengumumkan dewan undangan negeri Melaka telah dibubarkan.

Dalam satu sidang akhbar, beliau berkata Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Dr Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju dengan nasihat yang dibuat Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Menurut perlembagaan negeri, selepas DUN dibubarkan, satu pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Adun kerajaan diketuai bekas ketua Menteri, Idris Haron, adun Sungai Udang (UMNO) mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN.

“Proklamasi pembubaran DUN Melaka diwartakan hari ini, 5 Okt 2021,” kata Ab Rauf pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi jaminan sekiranya berlaku pilihan raya di Melaka, prosedur operasi standard yang ketat akan dilaksanakan.

Ketetapan itu katanya dibuat bagi mengelakkan berulangnya penularan wabak Covid-19 seperti yang pernah berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah diadakan pada tahun lalu.

Untuk rekod sehingga malam tadi, 88.2 peratus populasi orang dewasa di Melaka sudah divaksinasi sepenuhnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri ketika Covid-19 masih menjadi ancaman, Ab Rauf berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mencadangkan kaedah yang rasakan sesuai.

“Terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat keputusan lanjut,” katanya. 

Dia juga memaklumkan, dengan pembubaran DUN Melaka hari ini, negeri itu ditadbir oleh kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya negeri selesai dijalankan.

Terdahulu, Idris Haron menolak cadangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu.

Kata Adun Sungai Udang itu PRN tidak perlu diadakan, kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah saja lagi.

“Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Selain itu, PRU15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah saja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit Covid-19 naik mendadak,” katanya yang dipetik oleh Berita Harian. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.