Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee menyifatkan dirinya kini adalah seorang yang bermaruah, berbanding sebelum itu seorang barua DAP.
Ini ekoran tindakan beliau bersama tiga lagi adun yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang.
“Dulu barua, sekarang bermaruah! Bermaruah! Awak kena faham. Kami berempat ni pejuang tau! Kita membakar diri kita ini demi untuk rakyat. Kami tak ada jawatan pun tak apa. Tapi kami berjuang untuk rakyat” katanya apabila ditanya wartawan semalam.
Beliau yang juga merupakan bekas exco pertanian Melaka turut mengulangi pendiriannya sebagai adun bebas, di mana beliau bebas untuk bersuara dan bercakap.
Ditanya adakah tindakan beliau ini dilihat lebih kepada perjuangan untuk diri sendiri, beliau meminta supaya melihat komen rakyat di facebook sambil menunjukkan beberapa helaian kertas.
Salah satu kertas tersebut terpapar gambar Sulaiman, bekas ketua menteri Melaka dengan tajuk : 5 sebab kerajaan LEMAN TUMBANG di Melaka.
“Saya akan bagi kepada kamu semua kamu bacalah. Keluhan hati ataupun luahan rasa rakyat negeri Melaka terhadap kerajaan yang ada. Itu sebab kami berempat berada di sini.
“Kami bukan perjuangkan untuk diri kami. Apa?
Saya bukan perjuangkan diri saya untuk ketua menteri.
Tak dak! Tetap saya jadi EXCO (sekiranya saya kekal menyokong kerajaan).
Tak tahu jadi exco atau pun tidak akan datang. Betul?
Apa yang kata kami perjuangkan untuk diri kami sendiri. Tak ada!” katanya lagi.
Melaka akan berdepan dengan pilihanraya negeri selepas speaker semalam mengumumkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam telah bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan bahawa ia telah menerima notis rasmi daripada Speaker Ab Rauf Yusoh berhubung pembubaran DUN Melaka.
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Fasal (4) suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN.
Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.
Kerajaan negeri Melaka tumbang apabila empat Adun kerajaan yang diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka.
Idris adalah Adun Sungai Udang. Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adun yang berpaling tadah, gabungan BN-PN menguasai 17 kerusi berbanding 11 oleh pembangkang.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan pengisytiharan darurat diperlukan bagi menghalang berlakunya pilihan raya negeri di Melaka.
Katanya, SPR perlu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika penularan Covid-19 akan membahayakan rakyat jika PRN diadakan.
PKR dan DAP juga menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka susulan penularan wabak Covid-19.
Terkini, Kementerian Kesihatan berkata akan bersiap sedia untuk keadaan yang paling buruk dalam pilihan raya negeri Melaka.
“Kita bersedia untuk keadaan yang paling teruk,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika menjawab soalan portal Malaysiakini.
“Seperti di Sabah, kami nasihatkan supaya tiada pilihan raya kerana kita masih belum pulih (daripada kes Covid-19).” katanya.
-Buletin TTKM-