Tangguhkan PRN Melaka- Najib

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendapat PRN Melaka perlu ditangguhkan sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu.

Ini kerana menurutnya, ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masak yang begitu lama.

Beliau turut menyatakan amat kecewa dengan empat adun yang menarik sokongan terhadap kerajaan sehingga menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang.

“Amat kecewa dengan dua ADUN UMNO, seorang ADUN PPBM dan seorang ADUN bekas DAP yang tumbangkan kerajaan negeri Melaka. Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat.”

Beliau berkata demikian di laman facebooknya hari ini sebagai mengulas mengenai pembubaran DUN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan bahawa ia telah menerima notis rasmi daripada Speaker Ab Rauf Yusoh berhubung pembubaran DUN Melaka.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Fasal (4) suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN.

Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

PRN Sarawak ditangguhkan apabila darurat diisytiharkan mengambil kira pilihanraya negeri Sabah yang menyebabkan kenaikan kes jangkitan Covid-19 September tahun lepas.

Kerajaan negeri Melaka tumbang apabila empat Adun kerajaan yang diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka.

Idris adalah Adun Sungai Udang. Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Semalam Norhizam Hassan Baktee menyifatkan tindakan beliau adalah satu tindakan yang bermaruah sambil menyatakan keempat-empat mereka adalah pejuang rakyat.

“Dulu barua, sekarang bermaruah! Bermaruah! Awak kena faham. Kami berempat ni pejuang tau! Kita membakar diri kita ini demi untuk rakyat. Kami tak ada jawatan pun tak apa. Tapi kami berjuang untuk rakyat” katanya.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adun yang berpaling tadah, gabungan BN-PN menguasai 17 kerusi berbanding 11 oleh pembangkang.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan pengisytiharan darurat diperlukan bagi menghalang berlakunya pilihan raya negeri di Melaka.

Katanya, SPR perlu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika penularan Covid-19 akan membahayakan rakyat jika PRN diadakan.

PKR dan DAP juga menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka susulan penularan wabak Covid-19. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.