UMNO gugur keahlian Idris, Nor Azman

Kuala Lumpur, 6 Oktober :  UMNO hari ini mengeluarkan surat gugur keahlian kepada Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan keahlian mereka dalam UMNO gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta.

“Adalah dimaklumkan bahawa keahlian YBHD Datuk Seri di dalam Parti UMNo telah gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta merta di bawah fasal 20.11 dibaca bersama Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Ini adalah kerana tindakan YBhg. Datuk Seri pada 4 Oktober 2021 membuktikan YBhg. Datuk Seri tidak lagi menyokong kepimpinan dan kerajaan NEgeri Melaka yang ditunjangi oleh Parti UMNO sebelum ini” kata Datuk Seri Ahmad Maslan pada kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Idris dan Nor Azaman bersama ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN BERSATU Telok Mas, Datuk Noor mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Terdahulu, Datuk Seri Idris Haron mempersoalkan kuasa Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof yang mengumumkan keahliannya dalam parti telah gugur secara automatik.

Ini kerana kata Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang maklumat bertulis daripada Presiden atau Timbalan Presiden UMNO berhubung perkara itu.

“Rauf itu siapa? Siapa dia? Adakah dia Presiden parti? Dia hanya Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka.

“Saya tidak tahulah jika hari ini Pengerusi Perhubungan UMNO negeri telah diberi kuasa untuk menggugurkan taraf keahlian kerana saya bukan lagi Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO.

“Tapi saya sebagai AMT selama 10 tahun, sefaham saya soal keahlian ini dibuat oleh AMT,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Hilir di sini pada Selasa.

Beliau percaya kepada proses dan prosedur dalam parti dan jika benar keahliannya dipecat, beliau rela dipanggil oleh badan disiplin parti dan bersedia untuk menjelaskan tindakannya berbuat demikian.
Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Keempat Belas berkuat kuasa kelmarin.

Pada perkembangan yang sama, Presiden UMNo, Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan pengisytiharan darurat diperlukan bagi menghalang berlakunya pilihan raya negeri di Melaka.

Zahid berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan pilihan raya.

“Jika pandemik ini menurut pandangan KKM dan MKN amat bahaya untuk diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari seperti ditetapkan dalam undang-undang pilihan raya, tentulah panduan sebagaimana berlaku di Sarawak mungkin boleh diikuti.

“Keadaan kesihatan dan pandemik ini harus diberikan keutamaan,” katanya pada sidang media di Parlimen kelmarin.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menggesa supaya pilihanraya negeri Melaka ditangguhkan sama seperti pendekatan yang diambil di negeri Sarawak. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.