“Graduan kita umur 26/27 baru boleh kerja” – Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq berkata graduan Malaysia terpaksa menunggu sehingga umur 26 atau 27 tahun baru boleh masuk pasaran kerja.

Tambahnya, ini berbeza dengan negara Singapura, UK dan Australia yang hanya memerlukan tempoh tiga hingga empat tahun di mana umur mereka pada 22-23 tahun sudah boleh bekerja mencari pengalaman.

Pengasas parti Muda itu juga berkata hal ini berlaku kerana terdapat beberapa subjek di universiti yang tiada berkaitan dengan kursus tetapi diwajibkan.

“Mahasiswa diwajibkan ambil subjek yang tidak kena dengan kursus mereka. Yang ambil Kejuruteraan, kena ambil subjek Peradaban Tamadun.Yang ambil Undang-Undang, kena ambil subjek TITAS.Yang belajar di UiTM, kena wajib masuk Kawad Kaki.” katanya.

Menurutnya, antara “subjek WAJIB yang tak ada kena mengena” itu adalah seperti berikut:

  • Pengajian Malaysia
  • Kekeluargaan, Kesihatan dan Gaya Hidup
  • TITAS
  • Hubungan Etnik
  • Etika, Kewarganegaraan dan Ketamadunan
  • Bahasa, Komunikasi dan Literasi
  • Penaakulan Kuantitatif dan Kualitatif
  • Falsafah dan Isu Semasa
  • Penghayatan Etika dan Peradaban
  • Pengurusan dan Analitik Data

Tambahnya lagi, subjek-subjek ini tak perlu diwajibkan, cukup sekadar dijadikan subjek elektif di mana sekiranya ia diwajibkan, tempoh pengajian mahasiswa akan bertambah.

“Masuk Universiti, perlu lebih perhatian kepada menjadikan mahasiswa itu mempunyai “level of competitiveness” dengan orang lain.Apabila diwajibkan belajar, tempoh pengajian mahasiswa akan lebih panjang.” tambahnya.

Beliau berkata demikian di laman facebooknya apabila mengulas lanjut mengenai sesi perbahasan RMK12 minggu lepas.

Pada ketika itu, beliau membangkitkan hal ekosistem pengajian tinggi Malaysia yang menurutnya terlalu lama, tidak memberi impak kepada graduan dan tidak memberi NILAI kepada mahasiswa.

Syed Saddiq mencatat sejarah sebelum ini kerana menjadi menteri paling muda dilantik pada umur 26 tahun selepas kerajaan Pakatan Harapan dibentuk pada 2018.

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.